SEPANG – Sistem kod respons pantas (QR) yang diperkenalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merupakan game changer apabila berjaya memendekkan tempoh proses imbasan kepada empat saat khusus untuk rakyat Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merasai sendiri pengalaman berkenaan di KLIA sebelum berlepas ke Abu Dhabi pagi ini.
Katanya, proses tersebut lebih pendek daripada tempoh yang sepatutnya iaitu 60 saat berbanding cara manual sebelum ini mengambil masa lebih kurang 20 minit.
“Masa yang saya ambil tadi empat saat sahaja untuk palang dibuka, ini betul-betul game changer,” katanya ketika sidang media selepas meninjau pelaksanaan sistem itu di KLIA pagi ini.
Terdahulu, Saifuddin berkata, setakat ini sebanyak 20 kiosk sistem tersebut dipasang di KLIA dan KLIA2.
Ia melibatkan perbelanjaan RM19.2 juta termasuk kos pembinaan aplikasi aplikasi MyBorderPass yang perlu dimuat turun sebelum membuat imbasan.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sistem tersebut akan diperluaskan ke lapangan terbang antarabangsa utama di negeri-negeri lain secara berperingkat.
Selain itu sistem kod respons pantas juga akan digunakan bagi memudahkan kemasukan perwakilan Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini termasuk pelancong dari negara-negera tersebut sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
“Sempena Sidang Kemuncak ASEAN, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ingatkan supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pastikan pintu masuk utama supaya tidak ambil masa (kemasukan perwakilan di kaunter Imigresen).
“Ini kerana (ramai yang hadir) sebab hampir 400 mesyuarat tahun ini dalam persidangan yang bakal dikendali oleh Wisma Putra,” jelasnya.
JIM sebelum ini memberi jaminan pelaksanaan pembaharuan kemudahan autogate menggunakan sistem kod QR di KLIA tidak akan menjejaskan keselamatan khususnya berhubung pelepasan warga asing masuk ke dalam negara.- MalaysiaGazette