KLUANG – Enam projek naik taraf empangan, sistem saliran dan pintu air sudah siap manakala 11 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang sedang dalam pembinaan dijangka mampu mengatasi isu banjir di Johor pada masa depan.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, semua projek yang telah siap membabitkan kos RM186.1 juta melibatkan daerah-daerah berisiko banjir.
Beliau memberitahu, antaranya di Batu pahat, Muar dan Pontian.
“Projek ini bersifat mungkin lokaliti iaitu ada yang berkaitan menaik taraf daripada segi kunci air, ada juga berkaitan dengan penyelenggaraan pendawaian dan sebagainya.
“Di Johor juga kita ada perancangan pembinaan 11 projek RTB,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serahan Enam Projek Siap oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air kepada Kerajaan Johor di Felda Ulu Penggeli di sini hari ini.
Katanya, pihak kementerian akan memantau pelaksanaan projek RTB di Johor bagi memastikan siap mengikut jadual ditetapkan termasuk lima daripadanya dijanga siap kebih awal.
Tambah beliau, semua projek RTB itu melibaktan daerah Segamat, Tangkak, Batu Pahat dan Kota Tinggi yang menelan kos lebih RM1 bilion.
Projek berkenaan ujarnya, dijangka dapat mengurangkan risiko banjir melibatkan 139 kawasan hotspot banjir di negeri tersebut.
Lima projek bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melibatkan kerja-kerja menaik taraf Empangan Bekok bernilai RM17.8 juta.
Sementara projek menaik taraf infrastruktur mekanikal dan elektrikal untuk kawalan banjir di negeri ini membabitkan kos RM2.7 juta.
Ini termasuk projek penambakan pemecah ombak di Pengkalan Seri Menanti Laut, Muar dengan kos RM1.8 juta dan projek menaik taraf sistem saliran mesra alam di Batu Pahat pakej satu (RM3.6 juta).
Juga projek pembinaan konkrit dari Sungai Batu Pahat ke Pekan Semerah, kerja menaik taraf sistem saliran mesra alam di Peserai dan kerja berkaitan lain di Batu Pahat (RM7.7 juta).
Satu lagi projek bawah Jabatan Bekalan Air pula melibatkan Projek Penyaluran Air Mentah Layang Dua (RM152.6 juta).- MalaysiaGazette