Pelatih hadir pada sesi pendaftaran bagi mengikuti Program Latihan Khidmat Negara PLKN 3.0 siri 1/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kuala Lumpur. Foto MALAYSIA GAZETTE, 12 JANUARI 2025.

KUALA LUMPUR- Selepas tujuh tahun dimansuhkan, Program Latihan Khidmat Negara (PKLN) dilaksanakan semula tahun ini secara sukarela dalam tiga siri di dua buah kem.

Kementerian Pertahanan memaklumkan, PLKN 3.0 Siri 1/2025 diadakan di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur selama 45 hari bermula hari ini sehingga 25 Februari.

Manakala Siri 2/2025 akan dilaksanakan pada 11 Mei hingga 24 Jun dan Siri 3/2025 akan diadakan pada 7 September hingga 21 Oktober di dua buah kem iaitu Kem Rejimen 515 Askar Wataniah dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan, Pahang.

“Setakat hari ini PLKN 3.0 Siri 1/2025 telah menerima penyertaan seramai 120 orang pelatih secara sukarela yang terdiri daripada 80 lelaki dan 40 wanita berumur antara 18 dan 25 tahun, termasuk 13 orang mendaftar secara walk-in dengan kesemua mereka yang hadir terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa, agama, pendidikan dan lokaliti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, PLKN 3.0 akan  menggunakan modul latihan yang mengintegrasikan 70 peratus Latihan Asas Ketenteraan dan 30 peratus Komponen Kenegaraan.

“Bagi modul Latihan Asas Ketenteraan pelatih akan dilengkapkan dengan kemahiran asas ketenteraan, dasar keselamatan negara, asas kesejahteraan hidup Malaysia MADANI dan kemahiran kepimpinan.

“Modul Komponen Kenegaraan pula mendedahkan pelatih dengan latihan tentang elemen jati diri, patriotisme dan memperkukuh perpaduan,” katanya.

Menurut Kementerian Pertahanan PLKN 3.0 merupakan wadah pembentukan satu generasi baharu yang mempunyai semangat patriotisme, mengamalkan nilai-nilai murni, sentiasa memupuk semangat perpaduan dan menanamkan semangat kesukarelawan.

Tambahnya, PLKN 3.0 secara khusus dilaksanakan berdasarkan lima objektif iaitu meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, memupuk dan menyatupadukan golongan muda daripada pelbagai kaum serta integriti nasional; membentuk perwatakan positif dan mengamalkan nilai-nilai murni.

Objektif lain ialah menanam dan menyemarakkan semangat kesukarelawanan; dan melahirkan generasi muda yang cergas, cerdas dan berkeyakinan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here