KOTA TINGGI – Insiden tiga maut selepas pacuan empat roda dinaiki dihanyutkan arus deras dalam kawasan ladang YPJP di Ulu Sedili di sini semalam berlaku semasa mereka mahu pergi memancing.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othma berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 3.35 petang melibatkan pacuan empat roda Toyota Land Cruiser dan Toyota Hilux.
“Toyota Land Cruiser tersebut dinaiki tiga mangsa yang meninggal dunia itu manakala Toyota Hilux pula dinaiki dua rakannya.
“Toyota Land Cruiser kemudian terbabas dan dihanyutkan arus deras dalam ladang tersebut sebelum terbenam dalam lumpur berhampiran parit.
“Semasa proses penarikan, Toyota Land Cruiser telah termasuk ke dalam parit dan terus ditenggelami air dengan keadaan arus yang deras.
“Semasa kejadian itu rakan mangsa bertindak keluar dari Toyota Hilux dan cuba menyelamatkan ketiga-tiga mangsa dengan memecah tingkap di sebelah kiri dan hadapan.
“Mereka berjaya mengeluarkan salah seorang daripada tiga mangsa. Mangsa yang diselamatkan itu dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, dua rakan mangsa tersebut meneruskan usaha menyelamatkan dua lagi mangsa dalam Toyota Land Cruiser itu tetapi tidak berjaya kerana terperangkap dalam kenderaan yang dimasuki air.
Menurut beliau, rakan mangsa itu kemudian terjumpa dan mendapatkan bantuan seorang pekerja ladang YPJP Sedeli dan dibawa ke pos pengawal seterusnya menghubungi pihak bomba.
Pada masa sama katanya, Pegawai Perubatan Hospital Kota Tinggi yang tiba ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa pertama sudah meninggal dunia.
Beliau berkata, usaha mencari dua lagi mangsa diteruskan membabitkan 42 pasukan keselamatan dan pihak pengurusan ladang seawal pukul 6.10 petang semalam.
Jelasnya, hasil pencarian, kedua-dua mangsa dijumpai terperangkap dalam Toyata Land Cruiser dan berjaya dibawa naik ke darat masing-masing pada pukul 11.07 malam dan 12.14 tengah malam.
“Mangsa yang meninggal adalah Lee Fook Wan berusia 48 Tahun, Lee Choy Yeow, 49, dan Leong Kon Fatt, 72. Semua mayat dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi bagi tujuan bedah siasat dan tindakan lanjut siasatan,” ujarnya.
Tambah beliau, kes diklasifikasi di bawah Laporan Mati Mengejut (LMM).- MalaysiaGazette