AMPANG – “Kanak-kanak itu tiada sebarang masalah selama berada di bawah jagaan neneknya sebelum ini,” kata jiran kanak-kanak tujuh tahun yang maut disyaki akibat didera ibu kandung dan teman lelaki wanita itu, Jumaat lalu.
Jiran mangsa, Nathen,68, berkata, kanak-kanak itu seorang yang berpewatakan ceria dan peramah.
Tambahnya, mangsa juga sering bertegur sapa dengan jiran sekeliling di kawasan rumah mereka.
“Rumah ini pada asalnya milik nenek mangsa dan mereka sudah menetap di sini sudah lama iaitu hampir 30 tahun.
“Bagaimanapun, wanita itu rebah akibat diserang angin ahmar dua bulan lalu.
“Malah, ketika neneknya terjatuh semasa sedang menyidai baju, mangsa yang memanggil saya untuk membantu neneknya itu dan saya yang memanggil ambulans.
“Bukan itu sahaja, kalau dia nampak kami semua beriadah sama ada pada waktu pagi atau petang, mesti dia tegur ” atuk jogging ke tu?” sambil bermain basikal dengan anak jiran-jiran,” katanya lagi.
Tambah Nathen, kanak-kanak malang itu sentiasa mengikut neneknya ke mana sahaja dan dia dijaga dengan baik tanpa sebarang kecederaan.
Namun selepas wanita itu diserang strok dan dijaga saudaranya, kanak-kanak berkenaan ditinggalkan bersama ibu kandungnya.
Menurut Nathen, dia sangat terkejut apabila mengetahui kematian kanak-kanak tersebut yang disyaki maut akibat didera ketika di bawah jagaan ibu kandungnya.
“Baru-baru ini, dia (mangsa) tinggal dengan ibunya tapi kami ada nampak seorang lelaki selalu datang rumah mereka pada waktu malam atau sekitar jam 3 hingga 4 pagi dengan menaiki kereta.
“Ramai jiran kata itu bapa tirinya tapi kami terkejut pagi tadi rupanya lelaki terbabit kekasih ibunya sebab kami tidak tahu hal sebenar terutama berkaitan hal peribadi mereka sekeluarga,” ujarnya.
Semalam, polis telah menahan wanita dan teman lelakinya dipercayai mendera hingga menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang juga anak wanita terbabit dalam kejadian di Taman Bukit Ampang pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kedua-dua suspek ditahan di Jalan Zamrud, Taman Bukit Ampang, di sini, pada 5.17 petang, hari yang sama.
Menurutnya, ibu kandung mangsa menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya memberitahu kanak-kanak itu sedang tidur dan sudah tidak bernafas pada 2.36 petang.
“Hasil pemeriksaan polis bersama anggota paramedik mendapati mangsa meninggal dunia di rumah terbabit dan terdapat kesan lebam pada bahagian muka, leher, tangan dan kaki.
“Proses bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian kanak-kanak itu adalah pendarahan di dalam kepala dan mangsa disyaki dipukul dengan benda keras serta tumpul secara berulang di rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Azam berkata, berikutan kedua-dua suspek berusia 25 serta 36 tahun itu direman tujuh hari sehingga 17 Jan ini bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette