ISKANDAR PUTERI – Dua daripada tujuh jalan di daerah Kota Tinggi masih lagi ditutup untuk laluan ketika ini kerana banjir masih lagi belum surut.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dua laluan yang terjejas itu melibatkan Jalan Mawai Lama dan Jalan Tanjung Sedili.
“Sehingga pukul 12 tengah hari tadi masih dinaiki air. Kita berharap banjir semakin surut dan bencana (kerugian atau kerosakan harta benda) boleh dikurangkan.
“Negeri terlibat (dengan penutupan jalan) hanya di Johor iaitu di daerah Kota Tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PerkobF) Cawangan Johor di Millesime Hotel di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad menyarankan agensi kerajaan memperbanyak projek infrastruktur, mengadakan program khas dan melaksanakan undian projek untuk kontraktor kelas G1.
Ujarnya, cadangan itu bagi mengatasi isu peningkatan jumlah kontraktor berikutan bilangan projek diterima semakin berkurangan serta memastikan kerja-kerja diagihkan secara adil.
Menurutnya, jika boleh dibahagikan projek diperoleh kontraktor besar kepada kepada kontraktor kecil, ini akan memberi peluang kepada kontraktor kelas F.
“Saya juga ingin mencadang kerajaan mengadakan program khas supaya lebih banyak dewan, balai raya dan surau baharu di kampung dibina, ini kerja yang sesuai untuk kontraktor F,” katanya.
Sebelum ini, sebanyak RM450 juta diperuntukkan menerusi Belanjawan 2025 bagi memperkasa kontraktor kelas bumiputera G satu hingga G empat.
Sehingga kini, terdapat seramai 67,300 kontraktor G satu direkodkan di seluruh negara termasuk 5,452 kontraktor di Johor.- MalaysiaGazette