KLUANG – Majlis Agama Islam Johor Negeri (MAINJ) memperuntukan RM1 juta untuk membantu mangsa banjir di Johor ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, bantuan itu yang besar jumlahnya dapat disalurkan hasil daripada pewakaf di negeri tersebut yang sentiasa komited meenunaikan tanggungjawab membayar zakat mereka.
“Daripada jumlah ini, RM200,000 akan disalurkan melalui Pegawai Daerah di setiap daerah terkesan dan RM800,000 lagi digunakan untuk menyediakan kit bantuan kepada setiap keluarga mangsa banjir.
“Sekiranya jumlah yang diperuntukkan untuk mangsa banjir ini tidak mencukupi, MAINJ akan memohon untuk mendapatkan bantuan tambahan.
“Ini bagi memastikan semua mangsa dapat menikmati hasil zakat disumbangkan rakyat negeri ini.
“Pengagihan bantuan mula diagihkan kepada mangsa terlibat hari ini, selain kit kebesihan dan solat, turut disampaikan bantuan wang tunai,” katanya kepada pemberita.
Mohd Fared berkata demikian selepas menemui 60 ketua keluarga mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Haji Manan disini hari ini.
Beliau memberitahu, pada tahun lalu sahaja kira-kira RM400 juta wang zakat dibayar pembayar zakat dan jumlah itu melebihi sekitar RM12 juta berbanding tahun 2023.
Mengulas isu pihak yang mengajak rakyat negeri ini ini untuk membayar zakat di negeri lain, Mohd Fared berkata, rakyat di Johor bijak dalam menilai setiap apa yang mereka ingin lakukan.
Ujarnya, sebaik-baik pembayaran zakat adalah dilakukan di kawasan di mana seseorang bekerja dan bermastautin.
“Jumlah sebenar kutipan zakat bagi tahun 2024 akan diumumkan esok dan daripada jumlah yang dimaklumkan menunjukkan rakyat negeri Johor tetap akan membayar zakat di mana mereka tinggal,” katanya. – MalaysiaGazette