KOTA TINGGI – Lima sahabat termasuk tiga daripadanya yang maut selepas pergi memancing di Ladang YPJ, Ulu Sedili di sini semalam, tidak tahu kawasan di situ dinaiki air.
Rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 50, berkata, mereka biasanya memancing di laut tetapi disebabkan hujan sejak kelmarin, mengambil keputusan memancing di ladang tersebut.
https://malaysiagazette.com/2025/01/12/3-maut-dihanyutkan-arus-deras-terperangkap-dalam-kenderaan/
“Memandangkan sekarang ini musim monsun dan tidak sesuai memancing di laut, mereka masuk ke kawasan ladang tersebut untuk memancing.
“Mereka semua memang suka memancing. Bila hari cuti mereka akan berjumpa luangkan masa memancing bersama. Namun difahamkan mereka tidak tahu kawasan ladang itu dinaiki air.
“Saya sendiri takut lihat video tempat kejadian yang ditunjukkan kawan. Air sangat tinggi memang menakutkan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini hari ini.
Kemalangan pada pukul 3.35 petang itu, Lee Fook Wan, 48, Lee Choy Yeow, 49, dan Leong Kon Fatt, 72, lemas selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terbabas ke dalam parit sebelum dibawa arus.
Lee berkata, mayat Fook Wan dibawa pulang ke Taman Melawati, Skudai, Choy Yeow dibawa ke Taman Putri Wangsa manakala Kon Fatt dibawa pulang ke Kuala Lumpur untuk urusan pengebumian.- MalaysiaGazette