KUALA LUMPUR – Seorang wanita bersama taman lelakinya ditahan di sebuah rumagh di Taman Bukit Ampang, Ampang, Selangor hari ini kerana disyaki mendera dan mencederakan anak wanita tersebut yang berusia tujuh di kediaman tersebut.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.35 petang semalam daripada ibu kanak-kanak tersebut yang menyatakan anaknya sedang tidur dan tidak lagi bernafas.
Tambah beliau, berikutan itu, anggota bertugas diarahkan ke lokasi kejadian untuk tindakan awal.
“Mangsa merupakan satu kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun dipercayai telah didera oleh ibu kandung (suspek 1) dan teman lelakinya (suspek 2) semasa di rumah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Azam, kanak-kanak itu mengalami kecederaan seperti kesan-kesan lebam pada bahagian muka, leher, tangan dan kaki.
Katanya, kanak-kanak itu yang meninggal di rumah disyaki dipukul dengan benda keras dan tumpul berulang berulang kali.
Tambah beliau, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi tujuan bedah siasat.
Katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian kanak-kanak tersebut adalah kerana pendarahan di dalam kepala.
Mohd Azam berkata, saringan ujian air kencing mendapati wanita tersebut negatif dadah manakala teman lelakinya positif dadah jenis Amp dan Meth.
Katanya, semakan dapati wanita terbabit yang tidak bekerja tiada rekod lampau manakala lelaki itu yang merupakan seorang jurujual mempunyai tiga rekod lampau tidak dikehendaki.
Ujarnya, kedua-dua suspek yang berusia antara 26 tahun dan 35 tahun dibawa ke Mahkamah Ampang untuk mendapatkan permohonan reman selama tujuh hari sehingga 17 Januari ini.
“Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan melakukan kesalahan membunuh orang,” ujarnya.
Katanya, seksyen tersebut memperuntukan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan dikenakan sebatan tidak lebih 12 sebatan jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette