KUANTAN – Kejadian air laut pasang besar malam tadi menjejaskan beberapa buah kediaman di sekitar Jalan Pantai 4, Kampung Jawa, Kuala Rompin.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan kejadian banjir kilat kira-kira pukul 10.22 malam.
Berikutan itu seramai 11 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin telah dikejarkan ke lokasi.
“Terdapat 35 keluarga telah diarahkan berpindah ke tempat selamat iaitu di Balai Raya Kampung Jawa. Paras air bagaimanapun didapati dalam keadaan menurun,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, sehingga pukul 6 pagi tadi, tiada pembukaan Pusat Pemindahan Sementara di kawasan terbabit direkodkan secara rasmi hasil semakan menerusi aplikasi InfoBencanaJKM. – MalaysiaGazette