KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, sekali lagi menangguhkan perbicaraan melibatkan seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom atas dua pertuduhan berkaitan pemilikan senjata api dan peluru.
Prosiding yang dikawal ketat oleh lebih 200 anggota keselamatan ditangguh selepas timbul isu ketiadaan jurubahasa Ibrani ‘Hebrew’.
Hakim Mahkamah Sesyen, Norina Zainal Abidin membuat keputusan berkenaan selepas kedua-dua pihak, pendakwaan dan pembelaan bersetuju supaya prosiding ini ditangguh ke 14 Februari depan.
Kes ini terpaksa ditangguh dua kali kerana isu jurubahasa Ibrani menjadi pertikaian peguam tertuduh.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam tertuduh, Jeffrey Ooi manakala peguam utama bagi pasukan pembelaan, Datuk Naran Singh pula tidak kelihatan di mahkamah hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam tampil tidak membantah sekiranya perbicaraan ditangguhkan.
“Kes ini perlu ditangguhkan bagi memastikan kepentingan keadilan. Pihak kami juga tidak membantah dengan permintaan pembelaan yang mahu prosiding ditangguh ke bulan Februari,” katanya hari ini.
Sebelum ini mahkamah menetapkan selama 12 hari bagi perbicaraan kes itu dengan tarikh-tarikh perbicaraan ialah 6 hingga 9, 13 hingga 16 serta 20 hingga 23 yang mana kesemua tarikh itu pada bulan Januari 2025.
Difahamkan, seramai 30 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu.
Pada prosiding lepas, Avitan berkata beliau faham bahasa Inggeris namun lebih fasih serta memahami bahasa Hebrew sahaja.
Aviton itu ditahan bersama enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger bersama 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya pada 27 Mac tahun lalu.
Hasil siasatan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati lelaki tersebut memasuki negara ini pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Anggota polis ditugaskan untuk mengawal laluan masuk utama Mahkamah Jalan Duta memastikan keadaan terkawal serta mengelakkan daripada berlakunya sebarang kejadian tidak diingini. -MalaysiaGazette
Prosiding warga Israel tangguh lagi, Avitan Shalom tetap mahu jurubahasa Hebrew