KUALA LUMPUR – Kilang yang terbabit dalam pengeluaran ‘ham sandwich halal’ diserbu kerana menyalahgunakan logo halal.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, serbuan dilakukan KPDN Putrajaya pada Jumaat lalu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Katanya, hasil maklumat awal, premis adalah sebuah kilang yang membuat dan membekalkan produk sandwich serta menggunakan penandaan logo halal Jakim yang disyaki tamat tempoh.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, premis terbabit tidak memiliki kelulusan halal daripada pihak Jakim dan logo halal yang dilekatkan pada produk sandwic ialah logo halal yang diperakukan kepada sebuah syarikat lain yang tidak lagi beroperasi dan menjual perniagaannya kepada syarikat diserbu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, sijil pengesahan halal juga disahkan telah tamat tempoh pada 15 Oktober 2023.
Serbuan dilakukan berikutan aduan yang diterima Jakim serta tular melalui aplikasi TikTok berkaitan penggunaan perakuan logo halal yang meragukan.
Produk sandwich itu didakwa dijual di beberapa premis pasar raya terkemuka sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
KPDN menyita pelbagai jenis sandwich, sebuah komputer, mesin pencetak dan beberapa dokumen perniagaan yang berkaitan dirampas dalam serbuan.
Kertas siasatan dibuka dan kes disiasat kerana melanggar Perenggan 4(1) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan menjadi kesalahan mengikut Perenggan 8 (a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal)2011.itan.
Sementara itu katanya, KPDN telah menghantar sampel sandwish ke Jabatan Kimia untuk mendapatkan pengesahan tentang kandungan sebenar yang digunakan dalam penghasilan sandwich terbabit. – MalaysiaGazette