KUALA LUMPUR- KK Mart membekukan semua urusan perniagaan dengan Shake and Bake Cafe, pembekal produk sandwich ham & cheese yang dijual di salah sebuah cawangannya di Universiti Malaya (UM).
Rangkaian kedai serbaneka itu juga memaklumkan, kemasukan produk daripada pembekal terbabit ke semua cawangan KK Mart turut dihentikan.
Jelasnya, hanya 16 KK Concept Store sahaja yang menjual produk tersebut.
https://malaysiagazette.com/2025/01/13/ham-and-cheese-sandwich-tiada-sijil-halal-naim/
UM baru-baru ini mengarahkan penutupan dua premis kedai serbaneka 24 jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwich diragui status halal.
KK Mart juga berkata, pihaknya mengeluarkan surat tuntutan pada 10 Jan kepada pembekal melalui peguam, David Gurupatham & Koay, serta membuat laporan polis pada 11 Januari lalu.
“Pihak Shake and Bake Cafe mengemukakan (kepada kami) sijil halal bagi ‘chicken ham’ (kepingan ayam) dan kepingan keju tersebut. Penulisan perkataan ini (halal) adalah daripada Shake and Bake Cafe,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
https://malaysiagazette.com/2025/01/13/kilang-ham-sandwich-diserbu-sample-dihantar-ke-jabatan-kimia/
KK Mart berkata, pihaknya juga maklum serbuan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ke atas kilang Shake and Bake Cafe Jumaat lalu. Katanya, KK Mart bersedia memberikan kerjasama sebaiknya.
“Demi menjaga kepercayaan dan keselamatan pelanggan kami, kerjasama penuh akan diberikan dalam memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan keyakinan dan kesejahteraan pelanggan kami.
“Pihak syarikat juga sentiasa memandang serius dan mengambil langkah langkah untuk mengelakkan kejadian seperti ini daripada berulang pada masa hadapan,” katanya.- MalaysiaGazette