ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki warga Singapura maut selepas motosikal kuasa tinggi yang ditunggangnya terlibat kemalangan tiga kenderaan di Lebuhraya LinKedua, arah Selatan di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kemalangan tersebut berlaku pada pukul 4.03 petang ketika mangsa dari Selangor mahu pulang ke republik itu.
“Kemalangan melibatkan motosikal jenis BMW 1250 dengan kereta Perodua Axia dan Honda Accord.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal mangsa sedang bergerak lurus di lorong kiri telah terlanggar bahagian belakang sisi kiri Perodua Axia di hadapannya.
“Akibat pelanggaran itu, Perodua Axia hilang kawalan lalu melanggar Honda Accord yang sedang berada di lorong kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, penunggang motosikal terbabit yang berusia 49 tahun terjatuh ke bahu kiri jalan dan mengalami kecederaan pada bahagian leher.
Mangsa katanya, meninggal dunia dalam ambulan semasa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.
Sementara kedua-dua pemandu kereta berkenaan katanya, tidak mengalami kecederaan.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan iaitu menyebabkan kemaian kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
“Siasatan lanjut masih dijalankan. Polis meminta saksi awam yang melihat kejadian tersebut untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi kaunter aduan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri menerusi talian 07-5101322,” katanya.- MalaysiaGazette