PEKAN – Lokasi nahas yang membabitkan kematian lima sekeluarga di Jalan Nenasi-Rompin berhampiran Kampung Sembayan di Nenasi, pada 11 Januari lalu merupakan insiden kedua berlaku dalam kurang tempoh dua minggu pada tahun ini.
Manakala 14 rekod kemalangan berlaku di kawasan berkenaan yang berhampiran selekoh yang agak berbahaya di lokasi nahas itu juga dicatatkan sepanjang tahun 2024.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, pihaknya memohon siasatan lanjut daripada Bahagian Forensik Jalan Jabatan Kerja Raya Ibu Pejabat untuk cadangan pembaikan jangka masa panjang di kawasan berkenaan.
”Pemantauan dan tindakan segera dilakukan bagi memastikan laluan tersebut selamat kepada semua pengguna di samping tanggungjawab mereka pengguna sendiri perlu meningkatkan keselamatan dengan pemanduan cermat.
”Tindakan jangka masa pendek diambil oleh pihak JKR yang akan memasang solar amber light (warna kuning) sebagai amaran dan membuat pembersihan di bahu jalan kawasan blind spot,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan di lokasi nahas membabitkan lima sekeluarga maut apabila kenderaan dinaiki kesemua mangsa bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) pada Sabtu lalu.
Dalam insiden itu mangsa terkorban ialah pemandu kereta Proton Wira Aeroback, Hamzah Zahari, 52, dan isterinya, Rahimah Awang Muda, 38 dan tiga lagi anak pasangan berkenaan ialah Ainul Mardhiyah, 10; Muhammad Luqman Nur Hakim, 8, dan Muhammad Lutfi.
Manakala pemandu dan penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV), Nissan Grand Livina yang cedera dalam kejadian itu adalah pasangan suami isteri mengalami kecederaan.
Hasil siasatan awal mangsa memandu laju dan kereta berpusing dulu selepas selekoh, lemudian masuk ke lorong bertentangan sebelum dilanggar kereta Nissan Grand livina dari arah bertentangan.
Ujar Razali, pihaknya serius dan komited dalam menjalankan kajian terperinci dan berusaha pelbagai kaedah bagi memastikan kejadian kemalangan di negeri ini dapat dikurangkan.
Katanya pelbagai faktor menyebabkan kemalangan termasuk isu teknikal kenderaan, cara pemanduan selain faktor persekitaran lokasi serta cuaca semasa kejadian.
”Perkara ini akan bawa dalam Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Pahang yang akan dipengerusi oleh saya sendiri selaku Exco Pengangkutan Negeri.
”Difahamkan ketika kejadian, keadaan terang dan masih cuaca hujan. Saya turut dimaklumakan oleh Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Zaidi Mat Zain bahawa punca kejadian akibat kecuaian pemandu,” katanya.
Untuk rekod sepanjang tahun 2024 Pahang mencatatkan sejumlah 419 kes bagi kemalangan maut seperti direkodkan oleh Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di negeri ini.
Jumlah tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 25 kes berbanding tahun sebelumnya bersamaan 6.9 peratus sekaligus meletakkan kontinjen Pahang berada di kedudukan kelima daripada keseluruhan berdasarkan statsitik yang dikeluarkan oleh Bukit Aman. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
Lima sekeluarga maut kereta bertembung MPV
Identiti lima sekeluarga maut dalam nahas di Pekan sudah dikenalpasti
Jenazah lima sekeluarga disemadi dalam satu liang lahad