KUALA LUMPUR – Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP) menggesa kerajaan menjelaskan kekeliruan yang berlaku mengenai Titah Adendum yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghabiskan baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.
Presidennya, Datuk Seri R.S. Thanenthiran berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengenai kewujudan dokumen tersebut telah mencetuskan persoalan dalam kalangan rakyat dan pemerhati politik.
“Kenapa memerlukan hampir setahun untuk mengesahkan perkara ini? Pengumuman ini hanya dibuat selepas wujud surat dari Istana Pahang yang disampaikan oleh Datuk Mohd Nizar, anak kepada Datuk Sri Najib.
“Kami turut menghargai usaha Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy yang membawa isu ini ke Mahkamah Rayuan,” katanya dalam satu sidang media di Royal Club Selangor, di sini, hari ini.
Menurut beliau, tindakan Kerajaan Madani yang lambat memberikan penjelasan telah menimbulkan lebih banyak tanda tanya.
Jelasnya, keputusan Perdana Menteri mengakui kewujudan adendum selepas sekian lama berdiam diri dianggap tidak konsisten dengan kenyataan sebelum ini di Parlimen yang menafikan kewujudannya.
“MMSP turut mempersoalkan kenyataan Setiausaha Politik Perdana Menteri yang menafikan adendum tersebut dan didakwa mengganggu hak mutlak Yang di-Pertuan Agong dan ia boleh menjejaskan institusi Raja-Raja Melayu.
“Rakyat kini kecewa, seolah-olah wujud konspirasi untuk menafikan hak Datuk Seri Najib yang telah banyak berjasa kepada negara dan kami menggesa agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat secara telus isu ini,” ujarnya.
Beliau menegaskan, penyiasatan bebas diperlukan untuk memastikan tiada pihak melanggar Perlembagaan atau mencemarkan institusi kehakiman.
Menurutnya, Kerajaan Madani perlu bertindak tegas terhadap individu yang cuba merosakkan integriti sistem perundangan negara.
“Isu ini beri kesan kepada kestabilan politik negara dan sekiranya tidak ditangani segera, ia berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur asing serta kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini.
“Keadilan kepada Datuk Seri Najib perlu dipulihkan, termasuk mempertimbangkan penahanan di rumah seperti yang dinyatakan dalam surat adendum,” ujar Thanenthiran.
Katanya, hak bekas Perdana Menteri itu perlu dihormati dan tindakan ini penting untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap prinsip ketelusan dan kedaulatan undang-undang. – MalaysiaGazette