KUANTAN – pengunjung Pantai Hiburan, Rompin dinasihatkan tidak menyentuh obor-obor yang terdampar di pantai tersebut.
Ketua Daerah Perikanan, Mohd Sharifuddin Abdul Manan berkata, ia bagi mengelakkan orang ramai terkena sengatan berbahaya yang boleh mendatangkan mudarat.
Beliau memberitahu, pihaknya menerima aduan daripada nelayan hari ini mengenai penemuan itu dan telah meninjau lokasi terbabit.
“Hasil siasatan awal mendapati, terdapat kedamparan obor-obor beracun dari spesis ‘Physalia Physalis’ atau lebih dikenali sebagai “Portuguese man o’war” yang sangat berbisa,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd Sharifuddin, kejadian itu dipercayai akibat daripada fenomena air pasang besar pada malam tadi.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Rompin, Lt (PA) Muhamad Izam Ismail berkata, ketika ini, petugas penyelamat pantai di kawasan itu melakukan pemantauan dan mengambil inisiatif mengutip obor-obor tersebut. – MalaysiaGazette