KUANTAN – Penutupan satu laluan sepanjang 900 meter di Jalan Kampung Tengah, di sini, akan dilakukan secara berperingkat bermula esok.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, ia bagi membveri laluan kepada kerja-kerja pembinaan loji rawatan kumbahan serantau dan rangkaian paip pembentungan di Bandar Indera Mahkota.
“Penutupan sebelah jalan di Kampung Tengah untuk sembilan pin point (lurang) ini mungkin akan memakan masa sehingga lima bulan.
“Saya minta semua penduduk atau pengguna jalan raya di sini agar bersabar dengan lurang yang akan menguruskan kerja-kerja pembinaan pembentongan ini untuk keselesaan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Pengarah Iswarabena Sdn Bhd, Ir. Ts. Abd Rahmad Yasir di sini, hari ini. Iswarabena merupakan kontraktor bagi projek tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum itu memberitahu, kira-kira antara 4,000 hingga 4,500 penduduk Kampung tengah dan pengguna jalan raya dijangka terjeas dengan penutupan jalan itu.
Sementara itu, Pengarah Iswarabena Sdn Bhd, Ir. Ts. Abd Rahmad Yasir berkata, projek ini merupakan jajaran terakhir bagi pembinaan loji rawatan kumbahan serantau dan rangkaian paip pembentungan di Bandar Indera Mahkota yang bermula pada Ogos 2022.
“Projek ini melibatkan pembinaan 33 loji di sepanjang 20 kilometer jalan yang bermula di Indera Mahkota 2 dan penutupnya di Kampung Tengah.
“Pasukan pertama akan bermula dari Jalan Darat Makbar dan pasukan kedua akan bermula di bulatan Taman Teruntum. Jadi dua pasukan ini akan bermula kerja pada bila-bila masa,” katanya. – MalaysiaGazette