KUALA LUMPUR – Sebanyak 100,000 orang murid tingkatan enam di seluruh negara akan menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) untuk kali pertama sejak ia diperkenalkan pada tahun 2012.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setiap murid akan menerima RM150, sama seperti murid lain pada peringkat sekolah rendah dan menengah.
“Penyaluran bagi mereka yang sedang mengikuti sesi 2024/2025 akan bermula pada Februari depan manakala murid tingkatan enam baharu bagi sesi 2025/2026 dijangka akan menerima bantuan ini bermula 1 Julai akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025 di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.
“BAP ini juga boleh dikreditkan terus ke dalam mana-mana akaun bank simpanan milik murid atau ibu bapa. Sebelum ini, (ia) terhad kepada Bank Simpanan Nasional (BSN) sahaja tetapi kini boleh ke semua akaun bank bagi memudahkan urusan ibu bapa dan penerima,” tambahnya.
Bantuan itu akan diagihkan melalui tiga kaedah iaitu pengkreditan terus ke akaun murid, akaun ibu bapa atau serahan tunai di sekolah.
Proses pengagihan dijangka akan bermula pada 13 Januari 2025 (hari ini) bagi murid tahun satu hingga tingkatan empat sedia ada manakala murid tahun satu baharu dan tingkatan enam akan menerima bantuan pada 16 Februari dan 16 Julai depan mengikut sesi persekolahan yang ditetapkan.
Setakat ini, sebanyak RM732.17 juta daripada RM791.5 juta yang diperuntukkan kerajaan untuk bantuan ini telah disalutkan ke sekolah-sekolah sejak 10 Januari lalu.
Ia dijangka akan memberi manfaat kepada 4,821,102 murid yang memerlukan. – MalaysiaGazette