Mangsa banjir di Taman Mawai mengemas dan membesihkan rumah mereka selepas air banjir surut.

KOTA TINGGI – “Kawasan ini sudah jadi macam tempat air bertakung, lagi pun sudah dekat nak puasa Mac ini, kalau macam ini pedih juga rasa benda yang sama setiap tahun.

“Bukan itu sahaja, setiap kali banjir perabot dan barang elektrik dalam rumah akan rosak, letih macam ini,” luah Muhamad Aziq Abd Aziz, 24, yang merupakan mangsa banjir dari Taman Mawai di sini.

Muhamad Aziq Abd Aziz

 

Menurutnya, penduduk di kawasan juga mengalami nasib sama setelah rumah mereka dinaiki air banjir sejak Jumaat lalu dan usaha perlu dilakukan pihak berkenaan dalam menangani masalah tersebut.

“Bila banjir, barang rosak dan hari ni orang (mangsa) banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) dibenarkan balik sekejap.

“Kita pun penat juga kalau macam ini tiap-tiap tahun,  ini kawasan banjir sebab yang dikorek hanyalah untuk dalamkan sungai dan bukan lebarkan sungai,” ujarnya lagi.

Seorang lagi penduduk, Abd Aziz Omar, 57, berharap banjir yang berlaku di kawasan berkenaan dapat ditangani segera bagi memastikan keselesaan penduduk.

Abd Aziz Omar

Katanya, masalah banjir di kawasan berkenaan dikenal pasti berpunca masalah perparitan yang turut membuatkan pengaliran air tidak lancar ke sungai sekali gus menjadikan tempat mereka seperti kawasan tadahan air.

“Tindakan melebarkan Sungai Pemandi tanpa mendalamkannya telah menyebabkan pengaliran air di kawasan ini tidak lancar.

“Selain itu, selagi jambatan di jalan besar tidak dibesarkan, selagi itulah masalah banjir di kawasan ini akan terus berlaku,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Hadiah Jaafar, 53, berkata, hujan yang lebat dan tidak berhenti bermula pukul 8 pagi Jumaat sepanjang hari dan mengakibatkan banjir.

Hadiah Jaafar

Katanya, dia sudah mula mengemaskan barang-barang di rumahnya sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

“Masa mula hujan, saya sudah mula kemas sikit-sikit, bila tengok hujan kali ini lain macam. Barang-barang saya letak atas meja dan pada pukul 6 pagi air mula naik bukan dari sungai tapi dari kawasan belakang, Bukit Samsu tapi orang tak perasan,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Banjir Johor semakin buruk, hampir 4,000 mangsa di 38 PPS

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here