Azman (tiga kanan) bersama-sama wakil penerima dalam Program Penyampaian Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Negeri Johor 2025 di Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Tiada pusat peperiksaan alternatif untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dibuka akibat banjir di mana-mana daerah di negeri ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, walaupun ada calon SPM yang terjejas dengan banjir namun Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) sudah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan mereka yang terjejas dapat menduduki peperiksaan.

“JPNJ dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sudah laksanakan program intervensi supaya calon dapat hadir sekolah.

“Jadi, tiada pusat peperiksaan alternatif dibuka kerana pusat peperiksaan sedia ada dapat uruskan semua isu bagi calon SPM yang terjejas banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Penyampaian Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Negeri Johor 2025 di Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin dan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Mohd Hanafi Samad.

Azman mengulas mengenai 38 calon SPM di negeri ini yang terjejas akibat banjir terutama dari daerah Kota Tinggi.

Hari ini, Azman menyerahkan BAP sebanyak RM150 bagi setiap murid dan pelajaran Tahun 1 hingga Tingkatan 6 bagi sesi persekolahan 2024/2025 di Johor membabitkan 581,463 orang dengan jumlah peruntukan lebih RM87.21 juta.

Katanya, bantuan yang bertujuan meringankan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak masuk tahun ke-13 pelaksanaannya dan tahun ini berjumlah RM791.25 juta yang memberi manfaat kepada lebih 5.26 juta murid dan pelajar di seluruh Malaysia.

“Bantuan ini diberikan kepada murid dan pelajar yang bersekolah di sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama, sekolah swasta persendirian yang berdaftar dengan kerajaan, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, sekolah integriti dan sekolah Henry Gurney.

“Cara agihan masih mengekalkan kaedah serahan tunai atau pengkreditan ke akaun bank murid, ibu bapa atau penjaga,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here