KUALA LUMPUR – Cubaan menyeludup barangan runcit dari Thailand berjaya ditumpaskan dalam operasi sekatan di Sekat Pintas Nibong, Kelantan, sekitar jam 11.00 pagi, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, operasi itu telah membawa kepada penahanan sebuah kenderaan mencurigakan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui pelbagai barangan runcit tanpa dokumen sah dalam kenderaan berkenaan.
“Suspek merupakan seorang lelaki berusia 49 tahun telah ditahan di lokasi untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan termasuk barangan dan kenderaan suspek dianggarkan mencecah RM33,000.
Jelasnya, barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor bagi tindakan susulan.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983. – MalaysiaGazette