ROMPIN – Kejadian air pasang besar di pesisir pantai di daerah ini menjejaskan banyak kediaman sehingga ada sebahagian daripadanya roboh dibadai ombak kuat pada dua hari lalu.
Segelintir penduduk terutamanya mereka yang tinggal di rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Sungai Lumpur di Kampung Pantai 4 telah diarah berpindah daripada kediaman masing-masing sebagai langkah keselamatan.
Nur Zakiah hamdan, 29 ketika ditemui memberitahu, rumahnya yang terletak di tepi pantai antara yang paling teruk terjejas dipukul ombak kuat.
“Mula-mula memang masa air naik sebab air pasang besar, kami berpindah ke balai raya sehelai sepinggang sebab nak tumpang tidur sahaja tapi malam itu terus jadi macam ini,” katanya sambil menujukkan bahagian bilik rumah itu yang telah roboh.
Sebelum kejadian itu berlaku, dia telah mengambil inisiatif bersama adiknya untuk membina benteng menggunakan kepingan zink bagi mengelakkan air masuk ke kawasan rumah mereka namun ia tidak memadai.
Katanya, aduan mengenai hakisan pantai di kawasan rumahnya pernah disuarakan kepada pihak berkaitan sejak tahun 2019 namun diberitahu masih dalam proses untuk membina benteng di situ.
“Bila tengok rumah macam ni, sedih sangat. Banyak kenangan kami di rumah ni. Kalau tiada rumah ini, memang tiada tempat tinggal lain,” luahnya.
Menurut Ambok Sekek, 49, yang tinggal berhampiran, kejadian tersebut merupakan pengalaman pertama kalinya sejak enam tahun menetap di situ.
“Air laut melimpah laju. Masa kejadian saya keluar beli lauk, balik-balik tengok orang sudah ramai keluarkan kereta semua. Penuh dah air. Tak sampai sejam.
“Rumah saya masuk sikit sahaja air, sempat angkat barangan elektrik,” katanya.
Bukan sahaja penduduk di sekitar Kampung Pantai 4, kejadian air pasang besar itu turut menjejaskan penduduk yang tinggal berhampiran pantai.
“Air naik dan merosakkan kandang lembu saya. Saya tak tahu nak tempatkan lembu-lembu ini di mana sekarang. Saya sudah tinggal di sini sejak umur 17 tahun, ini pertama kali berlaku,” kata Che Nor Che Ismail, 51 yang tinggal di Kampung Pantai 7.
Sementara itu, ketika tinjauan MalaysiaGazette sekitar kawasan berkenaan juga mendapati air laut tidak lagi melimpah namun beberapa batang pokok kelapa di pesisir pantai tumbang akibat angin yang kuat.- MalaysiaGazette