KUALA LUMPUR – Gejala ‘Men who have sex with men’ (MSM) dalam kalangan generasi muda khususnya pelajar sekolah dan mahasiswa di institusi pengajian tinggi dianggap semakin membimbangkan kerana menjadi penyumbang kepada risiko penyebaran penyakit.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Hanif Jamaluddin menegaskan bahawa kes melibatkan remaja lelaki yang terbabit dalam hubungan sesama jenis mencerminkan cabaran besar yang perlu ditangani segera oleh semua pihak.
“Perkara ini menunjukkan kelonggaran keterikatan terhadap nilai agama dan kemerosotan moral yang semakin ketara dalam kalangan anak muda.
“Berdasarkan unjuran Asian Epidemic Modelling (AEM), lelaki yang terlibat dalam hubungan MSM dijangka menjadi kumpulan utama yang terkesan dengan HIV di Malaysia menjelang 2030,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, peralihan ini juga diramal menjadikan MSM sebagai penyumbang terbesar kepada penularan HIV, menggantikan penggunaan dadah secara suntikan (PWID).
Laporan Global AIDS Monitoring 2024 turut menunjukkan 44% penghidap HIV terdiri daripada golongan berusia 20-29 tahun, manakala 31% pula dalam lingkungan 30-39 tahun.
Jelasnya, kerajaan perlu bertindak tegas dan pantas dalam menangani gejala MSM dan semua pihak perlu bekerjasama bagi memastikan generasi muda dilindungi daripada pengaruh negatif yang boleh merosakkan agama, moral dan masa depan mereka.
“Pendekatan yang holistik, termasuk program pendidikan moral dan agama yang lebih berkesan, bagi memupuk nilai-nilai positif dalam kalangan anak muda perlu dilakukan
“Usaha meningkatkan kesedaran mengenai risiko gejala MSM perlu diperluaskan melalui kempen dan sokongan komuniti,” ujarnya.
Tambahnya, langkah segera amat diperlukan bagi menyelamatkan generasi muda daripada terus terjerumus ke dalam kancah yang membahayakan diri, keluarga dan masyarakat. – MalaysiaGazette