KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) menyelar tindakan pelancong asing yang menggunakan teknologi kecederasan buatan (AI) untuk mengubah imej Dewa Murugan di Batu Caves.
Ketua DHPP Pusat, N. Balasubramaniam berkata, perbuatan itu bukan sahaja biadab, malah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat khususnya penganut agama Hindu.
Tegas beliau, penyalahgunaan teknologi dalam hal yang begitu sensitif melibatkan agama itu juga jelas sama sekali tidak menghormati nilai dan budaya Malaysia.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita sememangnya berbangga dengan kepelbagaian budaya dan agama yang menjadi tunjang keharmonian negara.
“Sebarang tindakan yang merendahkan kepelbagaian ini bukan sahaja mengganggu keharmonian antara kaum, tetapi juga melanggar prinsip-prinsip asas perpaduan kita,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di laman sosial berkenaan video yang dihasilkan oleh seorang pelancong asing menerusi TikTok yang mengguna nama ‘Koshish Lama’ yang menggunakan imej janaan AI bagi membuatkan imej Dewa Murugan seolah-olah bergerak.
Video itu mencetuskan kemarahan penganut agama Hindu yang menyifatkan tindakan pelancong asing berkenaan sebagai biadab, tidak sensitif serta tidak menghormati agama dan budaya pelbagai kaum di negara ini.
Sementara itu, Balasubramaniam menggesa semua pihak termasuk warga asing supaya lebih memahami budaya dan adat di Malaysia serta bersikap hemah dan bertanggungjawab, sama ada dari segi tingkah laku mahupun pertuturan, terutama dalam perkara sensitif seperti agama dan budaya.
Tegas beliau, kemasukan warga asing dalam jumlah yang kian meningkat di Malaysia perlu disambut dengan syarat bahawa nilai-nilai kebangsaan harus dihormati.
Ujarnya, walaupun Malaysia meraikan kepelbagaian, namun ia tidak patut memberi ruang pada perbuatan biadab dan tidak sensitif terhadap kepercayaan dan budaya masyarakat tempatan.
“Peraturan yang tegas mesti dilaksanakan segera bagi memastikan insiden sebegini tidak berulang, demi memelihara keharmonian negara kita.
“DHPP ingin menegaskan pentingnya memelihara nilai kebersamaan yang menjadi asas Malaysia.
“Dengan semangat perpaduan, marilah kita memastikan bahawa tindakan yang mencemar sensitiviti budaya dan agama diurus dengan tegas dan tuntas,” katanya. – MalaysiaGazette