KUALA LUMPUR- Mahkamah Majistret Dungun memutuskan wanita yang dituduh membunuh tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dalam nahas 9 Oktober tahun lepas, boleh dibicarakan.
Majistret Nur Amira Fatihah Osman membuat keputusan itu selepas mahkamah menerima permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman pada prosiding sebutan untuk laporan psikiatri tertuduh.
Tarikh pendakwaan semula terhadap tertuduh, Norizan Ismail, 50, ditetapkan 20 Februari ini.
https://malaysiagazette.com/2024/10/15/suri-rumah-didakwa-bunuh-tiga-pelajar-uitm-dungun/
Berita Harian melaporkan, pada prosiding hari ini, Nor Azhani memberitahu mahkamah bahawa tertuduh layak dibicakan berdasarkan laporan psikiatri yang diterima daripada hospital Permai Johor.
Ketika prosiding itu juga, tertuduh yang diwakili peguam, Norhabibah Norulazhar kelihatan bingung serta tidak mengingati nombor kad pengenalannya sendiri ketika ditanya jurubahasa.
Pada 15 Oktober tahun lalu, Norizan didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dia didakwa menyebabkan kematian tiga penuntut UiTM Dungun iaitu Muhammad Akmal Md Tukirim, 25, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20.
Berikutan itu, mahkamah memutuskan tertuduh dihantar ke Hospital Permai untuk menjalani rawatan psikiatri.
Selain tiga pertuduhan itu, Norizan turut dituduh mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana cubaan membunuh hingga menyebabkan kecederaan ke atas seorang lagi penuntut UiTM. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN