MELAKA – Padah memukul isteri kerana enggan melakukan hubungan seks Jumaat lalu, seorang pemotong rumput dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 32 tahun selepas menerima pengakuan salahnya sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dalam satu perkahwinan yang sah telah menyebabkan kecederaan kepada isterinya berusia 32 tahun untuk mengadakan persetubuhan dengannya.

Perbuatan itu dilakukan semasa berada dalam sebuah bilik kelamin sebuah rumah bernombor di Jalan Pokok Mangga, Kampung Padang dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 2 pagi 10 Januari 2025.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun di bawah Seksyen 375A Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah meminta untuk melakukan hubungan seks dengan isterinya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan sebelum wanita itu menolak kerana kepenatan menjaga anak lelaki mereka berusia setahun.

Pengadu juga tidak tahan dengan permintaan tertuduh yang mahu melakukan hubungan seks setiap hari.

Tertuduh yang berang dengan tindakan isterinya itu kemudian menampar dan menumbuk mangsa beberapa kali serta mencekik lehernya sehingga wanita itu tidak boleh bernafas.

Selepas berjaya melepaskan diri, pengadu berlari keluar dari bilik memanggil bapa mentuanya yang tinggal serumah dengan pasangan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman penjara yang rendah kerana dia dan isteri sudah tidak lagi tinggal serumah selain telah insaf atas perbuatannya itu.

Majistret Khairunnisak kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dari tarikh ditangkap 10 Januari lalu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here