Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap kepada wartawan pada sidang media kejohanan Selangor International Junior Golf Championship 2025 dan PKNS Selangor Masters 2025 di Kelab Golf Seri Selangor, Kota Damansara. Foto HARI ANGGARA, 15 JANUARI 2025.

PETALING JAYA – Kerajaan Negeri masih belum memuktamadkan venue utama bagi majlis pembukaan dan penutupan Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan dua lokasi seperti Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Merdeka bagi acara pembukaan dan penutupan itu.

Beliau berkata, ia susulan kemudahan utama iaitu Stadium Shah Alam masih dalam pembinaan.

“Kalau ikut jadual, hanya suku pertama 2027 akan disiapkan (Stadium Shah Alam). Kita tak nak tergesa-gesa, nanti akan menyebabkan kualiti stadium itu akan terganggu atau menurun daripada apa yang kita harapkan.

“Mungkin kita boleh gunakan Stadium Merdeka atau Stadium Nasional Bukit Jalil atau boleh laksanakan secara tertutup di Stadium Malawati, mungkin tidak dirobohkan untuk membenarkan program itu dilaksanakan

“Kita akan bincang balik dengan pihak pembangunan stadium sama ada boleh siap ataupun tidak,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Kejohanan Golf Selangor International Junior Golf Championship 2025 dan PKNS Selangor Masters 2025 di Kelab Golf Seri Selangor, Tropicana.

Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan Negeri Selangor menyediakan peruntukan sebanyak RM6 juta untuk program pembangunan sukan bagi persediaan menghadapi Sukma 2026.

Amirudin berkata, program itu berupaya mencungkil bakat baharu secara menyeluruh selain persiapan sebagai tuan rumah Sukma 2026 edisi ke-22.

Kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah adalah pada 1998.

Dalam pada itu, Amirudin juga berkata, ketika ini pihaknya mempunyai dua pilihan bagi acara trek dan padang termasuk Stadium Kota Raja, Klang dan Stadium Petaling Jaya, di sini.

“Lain-lain acara macam lumba lari dan acara padang saya rasa Stadium Kelana Jaya atau Stadium Petaling Jaya sudah memadai untuk acara tersebut.

“Acara-acara lain kita ada kemudahan sedia ada seperti tempat untuk silat, acara indoor, kolam renang kita akan siapkan,” katanya.

Katanya, beliau sendiri akan mempengerusikan mesyuarat pertama mengenai persiapan Sukma 2026 pada Isnin depan.

“Mulai Isnin ini, 20 Januari kita akan mulakan kick off mesyuarat pertama untuk meneliti secara keseluruhan tentang persediaan Sukma 2026.

“Kita sedang tengok pilihan, biar jawatankuasa dan Datuk Yazid Sairi (Ketua Pegawai Eksekutif Sukma 2026) untuk membuat keputusan dan mencadangkan kemudian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here