Mohamed Khaled menyaksikan majlis menandatangani perjanjian (MoU) sempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2025, Wisma Perwira, di Jalan Padang Tembak, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) perlu menyemak semula kedudukan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) pada tahun ini dalam usaha untuk mencari dan menarik bakat terbaik.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, semakan terhadap perkara itu akan dibuat membabitkan pencapaian dan keberkesanan matlamat penubuhan akademi tersebut.

“Faktor seperti keciciran dalam kalangan kadet, isu disiplin yang tidak habis-habis, kelestarian kos dan perbelanjaan akan dilihat oleh kementerian.

“Selain itu, keanjalan dalam menetapkan bidang yang diperlukan perlu diperhalusi secara serius,” katanya ketika berucap menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2025, di Wisma Perwira di sini, hari ini.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Pada tahun lepas, negara digemparkan dengan kejadian buli membabitkan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK–UPNM) yang cedera ditekap seterika disyaki dilakukan penuntut senior.

Menerusi siasatan, lima pegawai kadet ALK-UPNM terbabit kes buli itu dikenakan tindakan pembatalan perkhidmatan dan diarah membayar ganti rugi kepada kerajaan Malaysia.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kementerian akan memikirkan pembiayaan khas bagi menaja pengajian pelajar dalam bidang kritikal diperlukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Jelas beliau, kementerian juga akan mempertimbang pendekatan menebus hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) graduan terpilih dalam kalangan anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) yang berjaya diterima masuk ATM.

Mohamed Khaled turut memaklumkan, tiga penambahbaikan akan dilaksanakan bagi mengukuhkan perkhidmatan ATM iaitu mengiktiraf pengalaman anggota dengan pemberian kelayakan sekurang-kurangnya diploma, menggerak kerjasama Perhebat dan industri serta memantapkan program Protege ATM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here