KUALA LUMPUR – Seorang lelaki hari ini ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes khianat harta benda dan api di Taman Sepawie, Kuching, Sarawak, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, hasil maklumat risikan, tangkapan dilakukan di sebuah rumah di Jalan Cenderawasih.
Katanya, suspek sedang disiasat berhubung dua kesalahan utama di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memecahkan cermin dua buah kereta menggunakan batu dan pasu bunga dalam kejadian sekitar jam 2 hingga 2.30 pagi.
“Selain itu, suspek juga disyaki terlibat dalam satu kes khianat api di kawasan perumahan sama,” katanya dalam satu kenyataan
Menurut Mohd Farhan, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Jelasnya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-24444 atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Logeswara A/L Tharumalay di 018-2914239. – MalaysiaGazette