MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) percaya wujud gerakan untuk menyebarkan fahaman sesat The Ahmadi Religion of Peace and Light yang menafikan konsep syurga dan neraka serta akhirat secara umum ke negeri ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, insiden kain rentang ajaran itu yang ditemukan dipasang di jejantas Lebuh AMJ di Peringgit Jaya di sini sejak malam tadi mungkin menjadi petanda awal penularan fahaman itu.
“Pada pendapat kami begitulah (tanda awal wujud gerakan mengembangkan ajaran The Ahmadi ke Melaka) sebab itu saya katakan tadi, kita tidak akan berkompromi dan akan meningkatkan lagi penguatkuasaan.
“Kecuali mereka (pengikut) serah diri dan minta bimbingan kami ,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi kain rentang ajaran yang telah difatwakan sesat oleh pihak berkuasa di jejantas Lebuh AMJ di Peringgit Jaya di sini tengah hari tadi.
Hadir sama Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat dan Ketua Penguat Kuasa JAIM, AKmal Nadzim Abdullah.
Kain rentang berkenaan bagaimanapun sudah diturunkan dipercayai oleh penduduk kampung dan orang ramai yang berada di kawasan berkenaan.
Terdahulu, tinjauan MalaysiaGazette pukul 8.40 pagi tadi mendapati kain putih ajaran sesat itu digantung sejak malam tadi oleh individu tidak bertanggung jawab.
Kain rentang itu tertera tulisan ‘Abdullah Hashem Adalah Al- Mahdi Ahmadi Agama Keamanan & Cahaya.’
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, satu laporan polis juga akan dibuat JAIM bagi mengesan individu yang mencetuskan provokasi terhadap ajaran itu yang telah difatwakan sesat pada mesyuarat Jawatankuasa Fatwa 3 Oktober tahun lalu.
“Saya percaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan membuat siasatan terperinci bagi mengesan siapakah sebenarnya pelaku yang menggantungkan kain rentang ajaran sesat ini.
“Ia jelas satu tindakan untuk merosakkan keharmonian beragama di negeri Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette