KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambahbaik proses pemangkuan pangkat dalam pasukan keselamatan itu menerusi pelaksanaan penilaian e–Kursus dan Penilaian Kompetensi Atas Talian (PeKAT) bermula tahun ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses itu diperkukuhkan agar ia lebih telus, adil dan memberi peluang yang sama rata kepada setiap warga pasukan yang berkelayakan.
Kata beliau, arahan Ketua Polis Negara No 203 Dasar Pemangkuan Pangkat bagi Pegawai Kanan PDRM diperkenalkan bersama pembinaan Sistem Pembangunan Sumber Manusia yang lebih efisien.
“Bermula tahun 2025, proses pemangkuan pangkat dipertingkatkan menerusi pelaksanaan penilaian e–Kursus dan PeKAT yang bertujuan mengekang isu pilih kasih, tohmahan dan memastikan pemilihan calon yang sesuai, kompeten serta berkelayakan.
Razarudin menambah, pemberian pemangkuan dan kenaikan pangkat juga diperketatkan dengan syarat tambahan iaitu Indeks Jisim Badan (BMI) selaras Arahan Ketua Polis Negara No 202 Dasar Trim & Fit yang berkehendakkan BMI warganya berada pada paras kurang daripada 28.
“Inisiatif ini penting bagi memastikan kesihatan serta keterampilan pegawai polis, sekali gus melonjakkan kemampuan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Sementara itu, Razarudin memberitahu, PDRM akan menganjurkan Asia International Security Summit & Expo (AISSE’25) pada 20 hingga 22 Januari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Menurut beliau, agenda bertaraf antarabangsa itu bakal membabitkan pelbagai agensi dari dalam dan luar negara, berkongsi pengalaman dan inovasi menerusi seminar serta pameran.
“Saya menyeru segenap warga PDRM serta agensi penguat kuasa lain untuk memanfaatkan peluang memperluaskan ilmu dan kepakaran dalam penguatkuasaan undang-undang ke tahap profesionalisme yang lebih tinggi.
“Saya berharap dengan usaha ini, PDRM mampu bergerak seiring dengan perkembangan dunia tanpa sempadan, serta memperkasakan peranan PDRM ke arah meningkatkan tahap keselamatan dan mengekalkan kedaulatan negara,” katanya.
Pada majlis berkenaan Razarudin turut menyampaikan 36 sijil penghargaan KPN kepada warga PDRM daripada pelbagai jabatan dan berharap ia akan menjadi pemangkin semangat dan motivasi untuk warganya kekal cemerlang. – MalaysiaGazette