IPOH – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pihak polis telah merekod kenyataannya baru-baru ini berhubung sambutan Krismas yang dijalankan.
Kor Ming berkata, pegawai polis dari Tapah, Perak telah merekodkan kenyataan di pejabat menteri di Putrajaya selama 90 minit.
Beliau berkata, tindakan itu diambil susulan laporan polis yang dibuat oleh Pas, tetapi pihak polis sendiri tidak dapat memaklumkan undang-undang yang digunakan untuk menyiasatnya.
“Ini kerana kementerian merayakan Natal semasa Hari Natal. Saya berasa pelik pula, kerana takkan kami nak merayakan Deepavali semasa Natal atau merayakan Aidilfitri semasa Tahun Baharu Cina?
“Sudah tentu kami merayakan Natal pada Hari Natal. Lagi pun mereka yang menyanyi (lagu Natal) adalah kaum Kadazandusun dan Kristian dari Sabah dan Sarawak,” katanya seperti dipetik Pocketimes.
Kor Ming berkata, beliau terpaksa membatalkan tiga program kerana polis perlu merakamkan kenyataannya.
“Saya juga berbelas kasih dengan pegawai polis yang bertolak dari Tapah pada awal pagi ke Putrajaya untuk merakamkan kenyataan,” katanya.
Sebelum ini, Pas memaklumkan sebanyak 69 laporan polis dibuat terhadap Kor Ming berhubung sambutan Krismas secara terbuka di premis kementerian berkenaan yang turut melibatkan kakitangan beragama Islam.