PUTRAJAYA – Nga Kor Ming secara terbuka meminta rakyat menegurnya jika beliau melakukan kesilapan ketika menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, rakyat perlu bersikap jujur, ikhlas apabila nampak perkara yang tidak betul.
“Kita harus ada keberanian untuk menegur. Saya insan kerdil yang berkhidmat untuk rakyat dan negara, sebagai menteri sekiranya saya lakukan kesilapan, tegur,” katanya dalam Amanat Tahun Baharu 2025 di KPKT, hari ini.
Menurutnya, pemimpin Kerajaan Perpaduan perlu mengambil iktibar daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berkait rapat dengan seorang bekas pemimpin kerajaan sebelum ini.
“Waktu itu bila kita (PH pembangkang ketika itu) tahu ini (1MDB) tak betul, tapi tidak seorang pun pembesar dalam kerajaan (Barisan Nasional) itu sanggup cakap benar.
“Maka akhirnya, kini seluruh rakyat Malaysia beban dengan hutang 1MDB dan terpaksa kita tanggung bagai biawak hidup sekurang-kurangnya sehingga 2038.
“Sekiranya ini (1MDB) tidak berlaku, kita boleh selamatkan RM50 bilion dan banyak perkara boleh buat seperti pembinaan hospital, masjid, sekolah dan sebagainya,” tambahnya. – MalaysiaGazette