MUAR – Polis menahan seorang warga emas dan merampas lebih dua kilogram dadah bernilai RM67,665 di kawasan perumahan sekitar Sungai Abong di sini kelmarin.
Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menahan suspek yang berusa 61 tahun di rumahnya.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukliz Azman Aziz berkata, hasil pemeriksaan di rumah suspek menemui dua bekas plastik dan satu botol plastik bertutup yang mengandungi dadah jenis heroin seberat 1,053 gram.
“Selain itu, tiga peket plastik lutsinar yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 1,224 gram turut ditemui.
“Keseluruhan anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah ini adalah sebanyak RM67,665,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek menunjukkan hasil positif dadah jenis mop.
Selain itu katanya, suspek juga mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah,” ujarnya.
Tambah Raiz Mukhliz, suspek kini ditahan reman sehingga 20 Januari ini untuk siasatan lanjut.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta 12 kali sebatan rotan.
Ujarnya, kes turut di siasat bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.
Pihak polis katanya, menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak terlibat dalam pengedaran atau pemprosesan dadah.- MalaysiaGazette