LONDON – Penyerang sayap, Manchester United, Amad Diallo dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mebantu kelabnya mencatat kemenangan bergaya 3-1 ke atas Southampton awal pagi tadi.
Lebih menarik lagi, bintang berusia 22 tahun itu merupakan satu-satunya pemain United yang menjaringkan hatrik di EPL sejak kali terakhir direkodkan oleh Cristiano Ronaldo pada tahun 2022.
“Saya bersedia disenaraikan di mana-mana posisi dan berjuang untuk kelab ini. Segala-galanya untuk Manchester United.
“Tiga gol dalam masa 12 minit? Ya, dalam bola sepak, kamu mesti selalu percaya apa sahaja boleh berlaku,” katanya selepas perlawanan berakhir kepada media.
Pemain kelahiran Ivory Coast itu merupakan pemain ketiga dalam sejarah EPL yang menyumbat tiga jaringan dalam tempoh 10 minit terakhir permainan bagi menyertai dua lagi pemain legenda United.
Ole Gunnar Solskjaer pernah melakukannya ketika menentang Nottingham Forest pada Februari 1999 sebelum Wayne Rooney mengulanginya ke atas Hull City pada Januari 2010.
Amad kini mungkin dianggap wira baru United tetap mahu memuji rakan sepasukannya atas kebangkitan tersebut.
Pada aksi pagi tadi di tempat sendiri, skuad kendalian Ruben Amorim itu ibarat menempa kekalahan keempat berturut-turut EPL di laman sendiri selepas jaringan sendiri Manuel Ugarte dalam separuh masa pertama.
Namun Diallo menyamakan kedudukan ketika permainan hanya berbaki lapan minit dan melancarkan satu rembatan lagi hasil hantaran Christian Eriksen untuk melepasi Aaron Ramsdale pada minit ke-90.
Pemain sayap Ivory Coast itu kemudian mengesahkan hatrik kemenangannya selepas kesilapan Taylor Harwood-Bellis, sekali gus meraikan minggu yang menyaksikan Diallo melanjutkan kontrak bersama United hingga 2030. – Agensi