KUANTAN – Bekas majistret, Mohamad Amin Shahul Hamid dikekalkan hukuman penjara selama 58 tahun dan denda RM1.05 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini.
Hakim Datuk Mohd Radzi Harun yang mengekalkan hukuman Mahkamah Sesyen sebelum ini turut mengenakan tambahan wang jaminan RM50,000 kepada RM100,000 dan dua orang penjamin terhadap tertuduh.
Tertuduh yang memakai pelitup muka, berbaju hitam dan bertopi duduk di kamar tertuduh dengan tenang mendengar keputusan yang dibacakan bermula jam 11.02 pagi tadi.
”Keputusan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini betul dan tidak salah,” katanya.
Mohd Radzi membaca keputusan penghakiman selama 42 minit termasuk membangkitkan 10 isu substansif telah menetapkan hukuman berkuat kuasa bermula hari ini.
Bagaimanapun, beliau membenarkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga diputuskan oleh Mahkamah Rayuan susulan peguam tertuduh akan memfailkan rayuan.
Artikel berkaitan: Mahkamah Tinggi tetapkan 27 November keputusan rayuan bekas majistret
Majistret dihukum penjara 29 tahun, denda RM1.5 juta
Tertuduh diwakili peguam Arvind Santham turut memohon pengurangan denda dengan alasan perayu tidak mempunyai pendapatan dan hanya bercucuk tanam membantu keluarga serta membuat perniagaan kecil-kecilan sejak tahun 2019.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ezuan Farhana Ahmad.
Peguam turut merayu kepada mahkamah mempertimbangkan hukuman denda memandangkan tiada rekod kesalahan lampau dilakukan oleh Mohamad Amin semasa berhidmat dengan kerajaan.
Terdahulu tertuduh didakwa meminta suapan berjumlah RM100,000 dan menerima suapan bernilai RM110,000 daripada Hassan Basri di sekitar Lipis dan Raub antara 5 Julai hingga 22 Oktober 90[2019, sebagai dorongan untuk hanya mengenakan hukuman denda dan bukan penjara terhadap lelaki itu yang didakwa memiliki rokok seludup.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette