KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) membantah keras cadangan penjualan 30 peratus saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat asing Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikawal BlackRock.
Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, MAHB merupakan aset strategik negara yang mengurus dan mengendalikan hampir 39 lapangan terbang seluruh negara termasuk satu di luar negara.
“Kita mendapati terdapat keperluan rakyat Malaysia mula bersuara secara aktif walaupun perkara ini sudah lama namun kita lihat antara pemain utama yang perlu menjawab adalah Khazanah Nasional Berhad.
“Ini kerana ada proses untuk melibatkan pihak-pihak luar negara ke dalam pengurusan syarikat-syarikat Malaysia yang menguruskan aset-aset strategik ini dan jauh lebih penting dari itu kita masih letak bantahan sekeras-kerasnya kepada pihak GIP.
“Kita tahu GIP 100 peratus didokong, didalangi dan dikuasai oleh BlackRock, sebuah institusi pelaburan yang memang 120 peratus syarikat pelaburan regim zionis, Israel,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak Khazanah Nasional Berhad di Mercu UEM di sini hari ini.
Beliau mempersoalkan mengapa perlu aset-aset itu dijual kepada syarikat asing walhal masih banyak pengendali di Malaysia sendiri yang boleh mengambil alih jika ingin menswastakan MAHB tersebut.
Jelasnya, kehadiran mereka hari ini adalah sebagai seorang rakyat Malaysia yang prihatin berkaitan isu ini.
Sementara itu, Setiausaha Sulit kepada Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Meor Naqiuddin berkata, perkara yang ingin dibangkitkan oleh NGO-NGO hari ini adalah bukan sahaja berkaitan kepentingan rakyat Palestin namun ia juga melibatkan kepentingan awam.
“Siapa yang mendapat keuntungan dan siapa yang rugi dalam transaksi ini kerana duit-duit ini digunakan dalam kantung milik rakyat daripada Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
“Proses transaksi yang sepatutnya selesai dalam tempoh yang sebelum ini dipanjangkan di mana kita percaya pemegang saham syarikat terbabit tidak bersetuju dan kai tertanya-tanya apakah penilaian berkaitan keselamatan nasional.
“Adakah Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah dirujuk berkenaan penjualan aset strategik melibatkan keselamatan yang merupakan pintu masuk negara kita. Jadi ia sangat penting kerana GIP telah dimiliki oleh BlackRock yang mungkin ada kepentingan berkenaan keselamatan negara kita,” katanya dalam sidang media yang sama.
Beliau memberitahu ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal telah mencadangkan kepada Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memanggil wakil-wakil dari Khazanah, KWSP, KWAP dan pemegang taruh yang lain untuk membentangkan dan menerangkan justifikasi perkara ini.
“MAHB tidak pernah rugi, jadi kita nak tahu apa sebab nak jual aset-aset ini kerana tiada alasan yang kukuh,” ujarnya.
Tambahnya, perkara itu bukan hal yang kecil dan mahukan PAC mengambil tindakan sebagai saluran terakhir yang boleh dibuat selain memorandum yang diserahkan hari ini. – MalaysiaGazette