PETALING JAYA – Pembukaan dan pengoperasian 20 stesen pertama laluan Shah Alam dijadual bermula akhir suku ketiga tahun ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau memberitahu, ia turut pengembalian lima stesen yang dijadualkan pada 31 Disember 2028 yang bakal mengubah gaya hidup hampir dua juta pengguna di sepanjang jajaran tersebut.
Menurut beliau, laluan itu bermula dari Bandar Utama merentasi pusat bandar Shah Alam, Klang dan seterusnya ke Johan Setia.
“Laluan baharu ini dijangka dapat menambah kesalinghubungan sistem pengangkutan
awam dengan laluan rel sedia ada di Stesen Bandar Utama-Laluan Kajang dan
Stesen Glenmarie-Laluan Kelana Jaya dan sokongan perkhidmatan bas perantara
bagi capaian batuan pertama dan terakhir,” katanya pada majlis pembentangan Laporan Prestasi Prasarana 2024 di Menara Prasarana di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Prasarana kini giat menjalankan kempen dan inisiatif bagi mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu nisbah peratusan penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2030 di Lembah Klang.
Kata beliau, pengangkutan awam terus menjadi pilihan utama rakyat kerana dapat menjimatkan tempoh perjalanan dan mengurangkan kos perbelanjaan harian.
“Menerusi Belanjawan 2025, kerajaan meneruskan subsidi pas perjalanan tanpa had My50 yang dijangka bakal menarik lebih ramai pengguna baharu.
“Setakat ini, purata penggunaan pas My50 adalah sebanyak 230,000 pengguna sebulan, yang mana pengguna hanya membayar RM50 dan baki RM100 adalah subsidi yang ditanggung kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Loke berkata, aplikasi perancang perjalanan MyRapid PULSE versi baharu turut diperkenalkan dengan ciri-ciri antaramuka yang lebih mudah dan menarik bagi memberikan pengalaman perjalanan pengguna yang efisien.
“Prasarana akan terus memberi komitmen dan sokongan berterusan kepada kerajaan
dalam menjayakan agenda memartabatkan penggunaan pengangkutan awam
selaras dengan Malaysia selaku Kepengerusian ASEAN 2025 dan bersedia untuk
menjayakan visi Tahun Melawat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette