KUALA LUMPUR – Seramai 76 orang peserta telah menyertai forum bertajuk Beyond the Headlines: Bridging Academia and Industry Through Reporting and Media Relations In Sports 2025 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau di Perlis baru-baru ini.
Program sehari itu anjuran pelajar diploma semester tiga dan pelajar ijazah sarjana muda semester enam di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi universiti tersebut.
Pengisian forum itu melibatkan perbincangan bersama dua panel, Mohd Nur Najmi Nuji dan Prof. Madya Ts Dr. Mohd. Nor Shahizan Ali yang membincangkan laluan kerjaya alternatif dalam industri media sukan khususnya untuk generasi Gen-Z di luar peranan traditional seperti penerbit dan editor.
Penganjur bersama yang dikenali SR Rhomboids SR Trigeminal berkata, selain itu, turut dibincangkan ialah cara untuk membina rangkaian profesional yang berkesan bagi mendapatkan pengalaman yang relevan dalam industri media sukan.
Katanya, kemahiran insaniah seperti keyakinan dirjuga ditekankan sebagai elemen penting dalam membina kerjaya, terutamanya dalam dunia kerja yang semakin kompetitif.
“Forum ini turut memberi fokus kepada peranan penting yang dimainkan oleh institusi universiti dalam menyediakan pelajar untuk melibatkan diri dalam kerjaya berkaitan sukan.
“Ini termasuk strategi dan inisiatif untuk membantu pelajar merapatkan jurang kemahiran yang wujud di antara pengetahuan akademik dan keperluan sebenar industri.
“Dengan pendekatan yang proaktif, graduan akan lebih bersedia dan kompeten untuk menghadapi cabaran dalam dunia pekerjaan, khususnya dalam bidang sukan yang dinamik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, menurut Pengarah Prorgram, Dr Ellail Ain Aznan berkata, forum itu bertujuan untuk memberikan pemahaman mendalam kepada pelajar mengenai isu-isu semasa yang kurang mendapat perhatian media arus perdana.
“Selain itu, forum ini dijalankan untuk membina kemahiran analisa dan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar dan masyarakat untuk menilai berita dan maklumat secara objektif.
“Saya juga berharap program ini mampu untuk menyedarkan pelajar tentag peranan dan tanggungjawab media dalam membentuk perspektif masyrakat terhadap isu-isu global,” katanya dalam satu kenyataan.
Forum tersebut turut mendapat sokongan daripada UiTM dan Universiti Kebangsaan Malaysia. – MalaysiaGazette