BANGKOK – Thailand meningkatkan kawalan keselamatan untuk pelancong bagi memulihkan keyakinan pengunjung China, selepas dakwaan kes penculikan seorang pelakon dari Tanah Besar itu.
Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra berkata, sektor pelancongan ialah pemacu utama ekonomi kedua terbesar Thailand dan China ialah pasaran tunggal terbesar untuk negara ini.
“Pelancongan adalah sumber pendapatan utama negara. Saya tidak mahu ia terjejas,” kata Paetongtarn.
Berikutan itu, beliau telah mengarahkan agensi keselamatan untuk meningkatkan tahap keselamatan para pelancong.
Tahun lalu, lebih 6.7 juta orang pelancong China melawat Thailand, menyumbang hampir satu perlima daripada 35.5 juta ketibaan pelancong asing di negara ini.
Isu keselamatan pelancong China diperkatakan selepas pelakon Wang Xing hilang di sempadan Thailand-Myanmar dan pihak berkuasa berkata dia mungkin menjadi mangsa pemerdagangan manusia oleh kumpulan penjenayah.
Lelaki berusia 22 tahun itu telah ditemui dan selamat kembali ke China.
Kes kehilangan Wang Xing disebar secara meluas di media sosial China, mencetuskan kebimbangan Thailand kemerosotan pelancong China menjelang cuti Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Paetongtarn berkata, setakat ini jumlah warga China ke Thailand tidak menurun tetapi ada pembatalan. – Agensi