KUALA LUMPUR – Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) didakwa tidak berbincang dengan Ahli Parlimen Lembah Pantai untuk menaikkan caj perkhidmatannya yang berkuatkuasa pada 1 Januari lalu.
Lantaran itu, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, secara peribadi, beliau tidak bersetuju dengan peningkatan caj perkhidmatan yang dikenakan hospital itu.
“Saya sejujurnya tidak bersetuju dengan peningkatan ini tapi oleh kerana mereka telah membuat pengumuman itu, maka saya lihat perlu diusahakan bantuan terutama kepada golongan memerlukan,” katanya kepada media, hari ini.
Fahmi berkata demikian mengulas pertanyaan media mengenai keputusan PPPUM menaikan caj perkhidmatannya sehingga 70 peratus kepada pesakit.
Pada 4 Januari lalu, PPUM mempertahankan keputusannya untuk menaikkan caj pesakit untuk prosedur, rawatan dan perkhidmatan berikutan peningkatan kos.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, beliau tidak dimaklumkan apabila keputusan itu diambil PPUM.
“Sebelum ini, mereka (PPUM) ada mengadakan perbincangan dengan saya sebanyak dua kali pada 2018 dan 2021.
“Pada waktu itu saya telah mengatakan pendirian tidak wajar dikenakan peningkatan. Kali ini mereka tidak bertemu dengan saya dan mereka telah mengumumkan dahulu,” jelas Fahmi lagi.
Walaupun tidak bersetuju dengan peningkatan itu, Fahmi berkata, pihaknya telah menggerakkan aktiviti mengumpul dana sebanyak RM5 juta bagi membantu PPUM untuk menampung kos berkenaan, sekali gus mengurangkan peningkatan caj perkhidmatan PPUM.
“Saya telah berbincang dan kami memperoleh satu penyelesaian yang mana saya akan bantu PPUM untuk meraih dana dan berhasrat untuk mengumpulkan sejumlah RM5 juta untuk membantu warga yang terkesan dengan peningkatan ini terutamanya golongan B40 dan M40.
“Kita akan teliti kes-kes mereka kerana Jabatan Sosial PPUM biasa menerima kes yang memerlukan bantuan,” kata Fahmi lagi.
Hari ini, Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Selangor (Cassa) melahirkan rasa dukacita dengan keputusan PPUM yang menaikkan caj perkhidmatannya.
Lebih malang lagi, kata presidennya, Jacob George, peningkatan ini memperlihatkan kegagalan kerajaan mengawal sebarang kenaikan yang sedang dan akan berlaku.
Memetik laporan akhbar harian Cina Guang Ming Daily, caj wad hospital itu akan dinaikkan sebanyak 60 peratus daripada RM120 kepada RM300.
Bayaran untuk rawatan susulan di klinik pakar dinaikkan daripada RM15 kepada RM50, iaitu peningkatan sebanyak 70 peratus. – MalaysiaGazette