Gambar Hiasan. foto: Facebook

KEWUJUDAN Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka menjadi pemangkin utama bagi pertumbuhan ekonomi Johor dan Malaysia. Dengan fokus kepada industri berteknologi tinggi seperti AI dan renewable energy atau tenaga boleh diperbaharui, JS-SEZ berpotensi menyumbang RM117.1 bilion kepada ekonomi Malaysia menjelang 2030 dan mencipta 20,000 pekerjaan mahir. Dalam jangka masa panjang JS-SEZ dijangka bakal menyediakan lebih kurang 100,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang dan memperkukuh kedudukan Johor sebagai pusat pertumbuhan ekonomi yang dinamik.

Kewujudan JS-SEZ mewajarkan kerajaan menghidupkan semula projek High Speed Rail atau Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang telah dibatalkan sebelum ini. Buat masa ini kos yang tinggi menjadi cabaran terutamanya dari segi modal dan pulangan pelaburan. Kerajaan Malaysia bertegas pembinaan projek HSR ini perlu dibiayai oleh badan swasta. Namun kos yang tinggi ini boleh dikurangkan dengan melaksanakan beberapa langkah penjimatan kos. Ini melibatkan beberapa strategi yang berpotensi mengurangkan perbelanjaan keseluruhan projek.

Strategi penjimatan kos
Salah satu caranya adalah menghadkan laluan HSR dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru sahaja kerana tumpuan pelabur dan pekerja sekarang adalah pada JS-SEZ yang berada di selatan Johor. Oleh itu adalah lebih sesuai stesen terakhir HSR berada di Johor Baharu bersebelahan dengan stesen RTS Bukit Chagar.

Penumpang yang ingin ke Singapura boleh meneruskan perjalanan mereka menggunakan Rapid Transit System (RTS) yang menghubungkan stesen RTS Bukit Chagar di Johor Baharu ke stesen RTS Woodland. Pernah dilaporkan langkah ini boleh memberi pinjamatan sehingga 30% dari kos asal.

Dengan menghadkan laluan HSR dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru sahaja, Malaysia dapat memfokuskan sumber dan tenaga pada pembinaan laluan yang lebih efisien. Setiap keputusan berkaitan projek ini boleh dibuat tanpa merujuk negara jiran kerana projek ini tidak melibatkan Singapura. Kewujudan RTS dari Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands memadai untuk memenuhi keperluan merentas sempadan kedua-dua negara.

Seterusnya langkah penjimatan yang boleh dioertimbangkan adalah dengan menjajarkan laluan HSR bersebelahan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Selatan yang bakal dibina tidak lama lagi. Strategi ini menawarkan pelebagai kelebihan dalam aspek kos dan integrasi pembinaan infrastruktur. WCE Selatan ini bakal menghubungkan Banting di Selangor dengan Gelang Patah di Johor Baharu.

Dengan merancang laluan HSR bersebelahan dengan WCE, kos pengambilan tanah dapat dikurangkan secara signifikan, kerana kedua-dua projek boleh menggunakan ruang yang sama tanpa perlu mengorbankan kawasan tambahan. Integrasi ini juga memudahkan pembinaan struktur seperti jambatan dan terowong, yang dapat dirancang dan dibina secara serentak. Penggunaan teknologi dan sumber yang sama untuk kedua-dua projek ini akan meningkatkan kecekapan dan mengurangkan masa pembinaan. Melalui pendekatan ini, Malaysia dapat memanfaatkan potensi ekonomi yang tinggi sambil memastikan kelangsungan pembelanjaan pembangunan infrastruktur yang berhemah dan mampan.

Strategi untuk meningkatkan pulangan pelaburan
Dari segi pulangan pelaburan, perlu ada usaha untuk menarik orang ramai mengunakan HSR ini. Untuk menjamin pengunaan HSR di tahap yang optimum, melaraskan laluan HSR melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu dilaksanakan. Langkah strategik menghubungkan HSR dengan KLIA, akan meningkatkan daya saing lapangan terbang tersebut dan menjadikan ia pilihan utama bagi pelancong domestik dan antarabangsa.

Pembangunan infrastruktur pengangkutan untuk ke JS-SEZ, akan mempengaruhi aliran pekerja dan pelabur secara signifikan. Dengan penyediaan sistem pengangkutan yang cekap, seperti HSR dan menghubungkan ia dengan KLIA, akses ke JS-SEZ akan menjadi lebih mudah, menarik lebih ramai pekerja mahir dan pelabur asing.

Laluan HSR yang melibatkan KLIA dan JS-SEZ akan memanfaatkan sinergi antara sektor pengangkutan, logistik dan pelancongan, memberikan manfaat keseluruhan kepada ekosistem ekonomi di Johor. Kesinambungan ini akan menjadikan perjalanan ke JS-SEZ dengan lebih efisien dan akan meningkatkan pengalaman pengguna, menjadikan HSR sebagai alternatif yang lebih menarik berbanding mod pengangkutan lain.

Seterusnya untuk membantu HSR menjana pendapatan dan keuntungan, HSR perlu mencontohi MTR Corporation di Hong Kong. MTR Corporation di negara itu menjalankan
operasi sistem pengangkutan awam yang komprehensif. Ia mengendalikan rangkaian kereta api yang terdiri daripada sembilan laluan utama, Light Rail, dan Airport Express, dengan purata lebih dari 5.5 juta penumpang setiap hari dan ketepatan masa mencapai 99.9%. Selain operasi rel, MTR terlibat dalam pembangunan harta tanah di sekitar stesen, menjana pendapatan tambahan melalui projek komersial dan kediaman.

MTR Corporation di Hong Kong telah menjadi contoh cemerlang dalam mengintegrasikan perniagaan harta tanah dengan operasi sistem rel, menjana pendapatan tambahan dan mengurangkan risiko kewangan. Model Rail plus Property (R+P) yang diterapkan membolehkan MTR membangunkan projek harta tanah di sekitar stesen kereta api, menjadikan kawasan tersebut pusat komersial dan kediaman yang menarik.

Pendekatan ini tidak hanya meningkatkan nilai aset MTR tetapi juga memastikan aliran pendapatan yang stabil dari sewa dan jualan harta tanah, yang menyokong operasi rel tanpa bergantung kepada subsidi kerajaan. Dengan lebih daripada 40% pendapatan MTR datang dari harta tanah, model ini telah terbukti berkesan dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan sistem transit.

Contoh kejayaan MTR boleh dijadikan model bagi Malaysia, terutamanya dalam konteks pembangunan HSR. Dengan merancang pembangunan harta tanah bersebelahan stesen HSR, Malaysia boleh memanfaatkan potensi ekonomi yang tinggi, menjadikan sistem pengangkutan lebih mampan dan menguntungkan.

Strategi ini menjadikan pelaburan pada projek ini lebih menarik, sekali gus akan menarik minat pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur dalam projek ini. Hasilnya Malaysia akan dapat meningkatkan kecekapan dan memperkukuh jaringan pengangkutan negara.

Secara keseluruhannya, strategi yang dicadangkan untuk JS-SEZ dan projek HSR melibatkan pengurangan kos melalui menghadkan laluan hanya ke Johor Bahru sahaja dan mengintegrasikan binaan HSR dengan projek lebuh raya WCE Selatan. Juga dicadangkan strategi yang berpotensi memberi pulangan pelaburan yang menarik apabila ia melibatkan penyelarasan laluan melalui KLIA untuk meningkatkan aksesibiliti dan mengoptimumkan jumlah penumpang dan strategi pembangunan HSR yang mencontohi model kejayaan MTR Corporation.

Boleh dikatakan strategi tersebut berpotensi menarik pelabur dalam dan luar negara untuk melibatkan diri dan mengambil bahagian untuk membiayai projek HSR ini kerana ia memperlihatkan potensi pulangan pelaburan yang positif. Melalui pendekatan ini, Malaysia boleh menjadikan impian memiliki HSR satu realiti. Diharapkan projek HSR dan JS-SEZ akan menjadi enjin pertumbuhan utama yang akan memberi manfaat pada rakyat negeri Johor dan Malaysia dalam dekad akan datang.

Mohamed Ismail Pakir Mohamed
Pensyarah Kanan
Ketua Focus Group Manufacturing Technology Management
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here