Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika sesi dua hala dengan Menteri Luar II Brunei Darussalam, Datuk Erywan Pehin Yusof pada Pemukiman Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN (AMM Retreat) di Langkawi, Kedah. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 18 JANUARI 2025.

LANGKAWI – Malaysia-Brunei akan terus mencari jalan penyelesaian berhubung isu sempadan darat antara kedua-dua negara.

Perkara itu merupakan antara agenda yang dibincangkan dalam pertemuan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan rakan sejawatnya dari Brunei, Datuk Seri Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof dalam mesyuarat dua hala di luar sesi Pemukiman Menteri Luar ASEAN 2025 di sini hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar Negeri, kedua-dua pemimpin berkenaan tidak sabar untuk meneruskan perbincangan dan menghadiri Rundingan Tahunan Pemimpin-Pemimpin ke-26 (ALC) dan Mesyuarat Pertukaran Surat (EOL) yang ke-26 yang akan dianjurkan Malaysia, tahun ini.

Mesyuarat selama setengah jam itu turut membincangkan isu-isu berkaitan perdagangan intra-ASEAN serta usaha untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam dagangan, pelaburan, pelancongan serta hubungan rakyat.

Mohamad dan Erywan turut menzahirkan komitmen masing-masing dalam inisiatif Enam Negara, Satu Destinasi yang memberi fokus terhadap mempromosikan pertukaran pelanconngan di antara Brunei dan Sabah serta Sarawak.

Kedua-dua menteri itu juga menyatakan sokongan padu terhadap Kepengerusian ASEAN Malaysia serta tema dan keutamaannya.

“Mereka menyataan komitmen terhadap Konsesus Lima Perkara Utama sebagai rangka kerja dalam menyelesaikan isu Myanmar,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Mohamad turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Thailand, Maris Sangiampongsa.

Katanya, kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk menyelesaikan isu di Myanmar dan memberi penekanan terhadap pentingnya Perpaduan ASEAN serta Kepusatan ASEAN.

“Keduanya turut membincangkan inisiatif-inisiatif kukuh yang boleh memacu ASEAN ke arah gabungan yang berorientasikan hasil.

“Mereka turut mengulangi komitmen terhadap inisiatif Enam Negara, Satu Destinasi yang mempromosikan pelancongan intra-ASEAN, di samping bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dalam sektor inovasi, tenaga, pendidikan, sekuriti makanan, logistik, telekomunikasi, pelancongan dan kesihatan.

“Kedua-dua menteri terbabit juga bersetuju untuk meningkatkan pengibatan sektor swasta bagi merangsang dagangan intra-ASEAN,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, Maris turut mengundang Mohamad untuk melakukan lawatan rasmi ke Bangkok.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here