MELAKA – Polis Melaka sudah memanggil YouTuber terkenal, Isa Isarb, 27 selepas tular tindakannya dipercayai melanggar undang-undang menunggang kenderaan mikromobiliti yang diubah suai, semalam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, ia selepas polis mengesan satu video tular berdurasi 22 saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok kira-kira jam 11.50 pagi tadi.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kenderaan mikromobiliti (Elektrik Bike) berkenaan telah diubahsuai dan dipasang bumbung ditunggang seorang lelaki bersama dua pembonceng lelaki di Lampu Isyarat Lee Rubber Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ).
“Pada jam 1 tengah hari tadi, kita berjaya mengesan penunggang e-bike tersebut yang menggunakan akaun TikTok @Isa Isarb.
“Polis turut membuat pemeriksaan keatas sebuah motosikal bernombor plat MDJ1154 yang didaftarkan atas nama Isa Isarb dipercayai merakam aksi kenderaan mikromobiliti berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut Dzulkhairi, pihak polis kemudian menghubungi Isa dan dimaklumkan beliau kini berada di Sabah atas urusan perniagaan sehingga 16 Mei ini.
“Penama (Isa) telah diminta untuk hadir ke Pejabat Penguatkuasa Polis Peronda Lebuh Raya (HMPV) Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk diambil keterangan.
“Beliau mengesahkan akan hadir bersama peguam pada 17 Mei ini,” katanya.
Tambahnya, kenderaan terbabit termasuk dalam kategori kenderaan mikromobiliti yang penggunaannya di atas jalan raya awam adalah dilarang di bawah Kaedah 3(1), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021. – MalaysiaGazette
















