JOHOR BAHRU – Polis menahan 20 warga tempatan dan seorang warga asing dalam Op Motosikal yang dijalankan di negeri ini bermula Khamis lalu hingga semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor menjalankan operasi selama empat hari itu secara serentak di seluruh daerah.
Beliau memberitahu, JSPT Johor berjaya menahan seramai 21 individu termasuk remaja berusia antara 15 hingga 56 tahun.
“Daripada jumlah tersebut seramai 16 warga tempatan ditahan bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala seorang lagi warga tempatan ditahan bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Dalam operasi tersebut juga tiga warga tempatan ditahan bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan l 1987. Seorang warga asing ditahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/67,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, sebanyak 143 buah motosikal turut disita dalam operasi tersebut dan sejumlah 1,127 saman PDRM (K) 257 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Jelasnya, kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi merekodkan saman tertinggi iaitu 232 keping diikuti kesalahan tiada lesen memandu sebanyak 226 saman.
Operasi itu ujar Kumar, akan dijalankan secara berterusan bagi memberi impak kesedaran serta mendidik pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan jalan raya.
“PDRM Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya. – MalaysiaGazette
















