KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui agensinya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan penguatkuasaan larangan pemanduan ke atas kenderaan barangan bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Larangan ini akan dikuatkuasakan selama empat hari iaitu pada 27 dan 28 Januari 2025 (sebelum perayaan) serta pada 1 dan 2 Februari 2025 (selepas perayaan) mengambil kira peningkatan trafik yang ketara khususnya bagi kenderaan persendirian yang akan bergerak pulang ke kampung halaman.
“Tujuan utama road-ban ini adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran trafik antara kenderaan barangan dengan kenderaan persendirian,” katanya dalam kenyataan di sini.
Selain daripada itu, Perintah Penurunan Had Laju Kebangsaan juga akan turut dikuatkuasakan bersama-sama larangan ke atas kenderaan berangan ini bermula 28 Januari sehingga 2 Februari 2025 sepanjang pelaksanaan Op Selamat oleh Polis Diraja Malaysia.
Bagi memastikan pematuhan terhadap Perintah Larangan, pihak JPJ akan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan di seluruh negara menerusi pelaksanaan Op Tahun Baru Cina (TBC) 2025 dan operasi bersepadu bersama agensi-agensipenguatkuasaan yang lain. – MalaysiaGazette