Lembaga Tabung Haji TH deposits
Bangunan Ibu pejabat Lembaga Tabung Haji di Jalan Tun Razak.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan menzalimi bakal haji melalui tawaran haji musim 2025M/1446H.

Tuduhan di media sosial ini adalah tidak benar sama sekali kerana TH telah menerima dan mengkategorikan semula lebih 700 golongan M40 seperti suri rumah, pelajar dan warga emas kepada golongan B40 setelah menerima rayuan berserta bukti mereka adalah dari golongan tersebut.

Untuk makluman, sejak 2022 TH menyemak silang maklumat bakal haji dengan agensi-agensi kerajaan bagi menentukan kategori bakal jemaah B40, M40 dan T20.

Jelasnya, bakal jemaah yang menerima sumbangan program bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah adalah termasuk dalam Kumpulan B40.

Mereka yang mempunyai pendapatan individu melebihi RM15,000 sebulan adalah termasuk dalam Kumpulan T20, kata TH.

Tambahnya, bakal jemaah yang tidak termasuk dalam kategori B40 dan T20 adalah dikategorikan sebagai M40 namun, TH telah dan masih menerima permohonan rayuan menukar kategori tawaran.

Sehubungan itu TH memandang serius tuduhan-tuduhan tidak benar yang memburukkan reputasinya dan menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here