Seorang individu memegang logo ASEAN di sebuah lokasi yang menjadi tempat mesyuarat pemukiman Menteri Luar ASEAN 2025 di Langkawi, Kedah. Foto FAREEZ FADZIL, 17 JANUARI 2025.

Oleh: Dr Mohd Ramlan Mohd Arshad

MALAYSIA kini menggalas amanah sebagai Kepengerusian ASEAN yang sudah pun bermula pada 1 Januari 2025 yang lalu. Tugas ini merupakan satu wadah yang sangat penting dan boleh dimanfaatkan oleh Malaysia untuk memperjuangkan dan menjadi hero dalam membela ummah di peringkat ASEAN. Walaupun agenda utama sudah
pasti berkaitan pembangunan ekonomi serantau termasuklah ancaman-ancaman yang berlegar di wilayah ASEAN seperti krisis Laut Cina Selatan, pergolakan selatan Thailand, ancaman perubahan iklim dan pemerasan dan pemerdagangan manusia, namun isu kesatuan ummah perlu menjadi teras kepada perjuangan Malaysia kerana usaha membela nasib komuniti Islam minoriti di ASEAN kini menjadi amanah kepada Perdana Menteri Malaysia.

Janganlah disempitkan pemikiran bahawa pemerkasaan ummah bermaksud ingin berlawan dengan masyarakat bukan Islam. Pemikiran ini adalah sangat dangkal dan menafikan kehidupan realiti yang bermasyarakat majmuk dan mempunyai kepelbagaian agama, etnik dan budaya. Ia perlu digunakan untuk membentuk sebuah masyarakat ASEAN yang bersatu padu dan saling mengamalkan silang budaya untuk merancakkan aktiviti sosio ekonomi. Mengetahui akan latar belakang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermula sebagai aktivis masyarakat Islam, maka kini tiba masanya untuk beliau melaksanakan agenda pemerkasaan ummah di peringkat ASEAN.

Salah satu usaha yang boleh dilakukan oleh Anwar ialah dengan mewujudkan Panel Penasihat Syariah ASEAN. Hal ini boleh menjadi agenda reformasi utama oleh Malaysia sebagai Kepengerusian ASEAN. Satu fakta yang perlu diketahui umum bahawa Malaysia sahajalah yang bertungkus-lumus untuk memartabatkan Mahkamah Syariah dan menguatkan undang-undang syariah dalam kalangan negara-negara ASEAN lainnya.

Oleh itu, pengalaman Malaysia ini perlu digunakan di peringkat ASEAN untuk menarik minat lebih banyak negara ASEAN mewujudkan undang-undang ini. Ramai yang terkeliru seolah-olah undang-undang syariah hanyalah untuk orang Islam, sebenarnya ia adalah undang-undang yang adil untuk semua agama dan bangsa. Ini menjadikan undang-undang syariah ini berbentuk universal dan terpakai kepada semua.

Oleh itu, Malaysia perlu memasukkan agenda penubuhan panel syariah di peringkat ASEAN untuk memberi penjelasan kepada komuniti ASEAN mengenai keadilan hukum ini. Hukum syariah jika diteliti dengan hati terbuka lebih kepada bercorak membanteras bukan menghukum semata-mata. Umpamanya, mereka yang melakukan pembunuhan perlu dijatuhkan hukuman qisas iaitu nyawa dibayar nyawa.

Situasi ini akan mewujudkan ketakutan kepa da pelaku dan boleh membanteras jenayah pembunuhan. Kewujudan panel ini boleh membantu negara-negara dalam ASEAN untuk bersemuka dan diberikan penjelasan yang jelas dan adil.

Selain hukum syariah, kewujudan panel ini boleh membantu dalam hal ehwal halal ASEAN dan peringkat global. Ketika ini, permintaan makanan dan minuman halal telah meningkat dengan mendadak. Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Indsutri, unjuran pasaran halal bakal mencecah AS$9.1 trilion, oleh itu negara-negara ASEAN berpeluang besar untuk memasuki pasaran ini.

Walaupun Malaysia, Brunei dan Indonesia adalah antara negara yang memilik kelebihan, namun Anwar perlu membawa idea makanan dan minuman halal dikonsumsi oleh masyarakat ASEAN secara umum. Fitrah manusia adalah untuk mendapatkan makanan dan minuman yang halal, bersih dan baik, maka tiba masa Malaysia menjadi juara produk halal dan tayyibah. Kepengerusian ASEAN boleh menjadi wadah yang terbaik untuk Malaysia melaksanakan agenda ini.

Akhirnya, di bahu Anwar terletaknya satu perjuangan yang besar untuk memartabatkan agenda ummah seperti kata-kata beliau iaitu mengislahkan masyarakat untuk menjadi lebih baik dalam kerangka masyarakat Madani. Oleh itu, tahun 2025 ini menjadi ruang yang luas untuk Malaysia melaksanakan agenda ini, ianya ibarat buat sekarang atau tidak selama-lamanya.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here