KUALA LUMPUR – Sehingga 17 Januari 2025, lebih daripada 7,000 pembayar cukai Fasa II telah menggunakan sistem e-Invois, manakala Fasa III turut mencatatkan penyertaan awal secara sukarela daripada 4,900 pembayar cukai.
Trend positif ini mencatatkan secara keseluruhan sebanyak 17,000 pembayar cukai (syarikat / perniagaan / organisasi) telah secara aktif menggunakan sistem ini dengan melibatkan pengeluaran sekitar 137 juta e-Invois.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) berkata, jumlah tersebut disokong dengan peningkatan yang berterusan menunjukkan pelaksanaan e-Invois ini semakin difahami dan diterima baik oleh pembayar cukai.
Pelaksanaan e-Invois secara menyeluruh akan bermula pada 1 Julai 2025 yang melibatkan semua pembayar cukai termasuklah perusahaan mikro, kecil dan
sederhana (PMKS).
Pada masa ini, kerajaan telah bersetuju untuk memberi pengecualian pelaksanaan e-Invois kepada perusahaan mikro dan kecil yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM150,000 yang mana ia melibatkan lebih 700,000 perusahaan mikro dan kecil.
“Kerajaan sangat menggalakkan penglibatan perusahaan mikro dan kecil bagi melaksanakan inisiatif e-Invois secara sukarela selaras dengan aspirasi negara ke arah pendigitalan operasi perniagaan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Oleh itu, kerajaan telah menyediakan tempoh peralihan selama enam bulan bagi memberi kelonggaran kepada pembayar cukai untuk mengeluarkan e-Invois
disatukan, iaitu e-Invois yang menggabungkan semua transaksi jualan secara bulanan.
Sepanjang tempoh peralihan ini juga, penalti tidak akan dikenakan kepada pembayar cukai yang sekurang-kurangnya mengeluarkan e-Invois disatukan.
Dalam usaha untuk membantu pembayar cukai termasuk PMKS melaksanakan e-Invois ini tanpa melibatkan sebarang kos tambahan, LHDNM telah menyediakan Portal MyInvois yang boleh diakses dan digunakan secara percuma bagi proses penghantaran e-Invois.
Sebagai maklumat tambahan, aplikasi MyInvois juga telah dibangunkan untuk kemudahan pembayar cukai dan mereka boleh melaksanakan e-Invois menerusi aplikasi MyInvois di telefon pintar masing-masing pada bila-bila masa dan di mana jua.
Bagi PMKS yang berkeupayaan dari segi kewangan, mereka mempunyai pilihan untuk membangunkan sistem sendiri atau menggunakan perkhidmatan pembekal teknologi.
Sebagai menyokong komitmen tersebut, kerajaan telah menyediakan insentif cukai bagi perniagaan yang melakukan perbelanjaan untuk pelaksanaan e-Invois seperti berikut:
a. Tempoh tuntutan elaun modal dikurangkan daripada empat tahun kepada tiga (3) tahun bagi perbelanjaan pembelian peralatan ICT dan pakej
perisian komputer mulai Tahun Taksiran (TT) 2024; dan
b. Potongan cukai sehingga RM50,000 untuk setiap TT bagi perbelanjaan yuran perundingan yang ditanggung PMKS mulai TT 2024 hingga 2027.
Sejak e-Invois mula dilaksanakan, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh pembayar cukai dalam aspek operasi perniagaan atau teknikal antaranya adalah kesukaran di pihak penjual untuk mendapatkan maklumat Nombor Pengenalan Cukai (TIN) pembeli bagi tujuan pengeluaran e-Invois pada peringkat awal pelaksanaan.
Sehubungan itu, LHDNM telah menyediakan platform perkhidmatan carian TIN bagi tujuan yang diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 yang merangkumi aktiviti percukaian termasuklah bagi pelaksanaan e-Invois.
Platform carian TIN tersebut boleh diakses mulai 1 Januari 2025 melalui Portal MyTax (https://mytax.hasil.gov.my) di menu Carian TIN. Pembayar cukai boleh membuat carian TIN dengan memasukkan maklumat mengikut kategori seperti berikut:
a. Individu: Nombor Pengenalan (Nombor Kad Pengenalan/Nombor Pasport); dan b. Selain Individu: Nombor Pendaftaran Perniagaan (BRN) atau Nama
Pembayar Cukai yang didaftarkan di HASiL bagi yang tidak mempunyai BRN.
Bagi memudahkan pelaksanaan e-Invois, fungsi carian TIN ini juga disediakan melalui mekanisme berikut:
a. Portal MyInvois; dan
b. Application Programming Interface (API) MyInvois. Maklumat lanjut berhubung penetapan fungsi carian TIN melalui API boleh didapati melalui Software Development Kit (SDK) MyInvois.
Bagi menyokong penggunaan MyDigital ID, HASiL juga menyediakan akses carian TIN di Portal MyTax dengan menggunakan pengesahan identiti MyDigital ID. Fungsi ini hanya boleh digunakan oleh warganegara Malaysia sahaja.
Selain itu, pembayar cukai yang menggunakan mekanisme API sebahagiannya telah menyatakan cabaran berkenaan limitasi saiz pengemukaan e-Invois.
Bagi mengatasi isu tersebut, LHDNM telah menyediakan panduan teknikal kepada pembayar cukai melalui Software Development Kit (SDK) serta menyediakan kaedah untuk penetapan saiz fail mengikut keperluan pengemukaan e-Invois yang telah ditetapkan dalam menepati kelancaran proses validasi.
Dalam keadaan tertentu seperti perolehan barang atau perkhidmatan dari luar negara, terdapat keperluan bagi e-Invois untuk dikeluarkan oleh pembeli tempatan bagi pihakpenjual atau penyedia perkhidmatan.
Memandangkan penjual asing tidak tertakluk kepada pelaksanaan e-Invois di Malaysia, tanggungjawab untuk mengeluarkan e-Invois Bil Kendiri terletak kepada pembeli di Malaysia bagi merekodkan perbelanjaan yang berkaitan.
Menerusi pengeluaran e-invois Bil Kendiri ini, semua transaksi dapat direkodkan dengan tepat di dalam sistem percukaian.
Proses pengeluaran e-Invois Bil Kendiri adalah sama dengan proses pengeluaran e-Invois individu. Perbezaan utama adalah pembeli akan mengambil peranan sebagai pembekal untuk mengeluarkan e-Invois tersebut dan menyerahkannya kepada LHDNM untuk pengesahan.
Keperluan data bagi pengeluaran e-Invois Bil Kendiri juga selaras dengan medan data yang dinyatakan di dalam Garis Panduan e-Invois, dengan kata lain medan data bagi pengeluaran e-Invois Individu adalah sama seperti medan data yang diperlukan bagi e-Invois Bil Kendiri.
Sekiranya nombor pengenalan cukai (TIN) tidak diperolehi untuk pembeli dan penjual asing, nombor TIN umum bagi pembeli dan penjual asing boleh digunakan, jelasnya.
LHDNM sentiasa memantau ketersediaan dan prestasi Sistem MyInvois berada pada tahap 99.97% pada setiap masa bagi memastikan kelancaran pelaksanaan e-Invois tidak terjejas baik di peringkat HASiL dan juga pembayar cukai. – MalaysiaGazette